KENAPA KEMPEN HANYA DITUJUKAN KEPADA RAKYAT?
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Kita tertanya Tanya …..Kenapakah kempen hanya ditumpukan kepada Rakyat yang telah ditimpakan kesan kenaikan harga akibat pengurusan hasil minyak dan kewangan negara yang tidak cekap? Mengapakah rakyat juga yang harus dikerjakan dan diarahkan untuk mengatasi permasalahan yang ditimbulkan oleh pemerintahan dan pengerusan kewangan yang kurang berhemah kerajaan semasa.

Tetapi kenapa kempen dan serangan tidak ditujukan kepada golongan peniaga, pembekal dan pemborong yang telah dikenalpasti sebagai petualangnya. Mengapakah mereka tidak begitu diendahkan sebaliknya rakyat sahaja yang diajak membantu kerajaan semasa sementara peniaga dan pembekalkan hanya dipantau . Apakah golongan ini sahaja yang banyak membayar cukai berbanding jutaan rakyat marhaen yang lain, atau golongan inilah yang menjadi pendokong utama kerajaan semasa untuk terus berkuasa dengan kuasa kewangan mereka?

Berikut adalah petikan seruan dan berbagai kempen yang hanya ditujukan kepada rakyat sahaja seperti berikut:

Kempen beli barang murah -- Dilancar minggu depan bagi membendung `pesta naik harga'
Oleh FAUZIAH AROF

PUTRAJAYA 12 Mei - Kempen `Belilah Barangan Murah' dilancarkan di seluruh negara minggu depan sebagai langkah drastik kerajaan membendung `pesta naik harga'.

Bagi memastikan kempen itu mencapai matlamatnya, rangkaian kerjasama dengan pasar raya besar seperti Tesco, Giant, Carrefour dan Mydin selain beberapa pasar basah di kampung-kampung dan kawasan terpencil di seluruh negara, diwujudkan.

Di semua lokasi tersebut, orang ramai boleh mendapatkan barangan harian yang mereka perlukan dengan harga yang cukup murah.
Strategi terbaru kerajaan ini diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Exco-exco Hal Ehwal Pengguna negeri di kementeriannya di sini, hari ini.

Kempen `Pengguna Bijak' dilancar hari ini
Oleh: NOR SEDEK ISMAIL

BATU PAHAT 15 Mei - Selepas kempen `Belilah Barangan Murah', Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal akan melancarkan kempen `Pengguna Bijak' pula esok di Klang.

Kempen ini untuk mendidik orang ramai supaya hanya membeli barangan berkualiti dengan harga murah di tempat-tempat tertentu sahaja.
Menterinya, Datuk Mohd. Shafie Apdal yang akan melancarkan kempen itu di pasar raya besar Tesco, Klang berkata:

"Kempen Pengguna Bijak itu sebagai mesej kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab (menaikkan harga barang tanpa asas) bahawa pengguna mempunyai pilihan di tempat lain untuk membeli barang keperluan harian mereka.

"Dengan langkah ini ia dapat mengurangkan beban pengguna serta memberi iktibar kepada para peniaga lain supaya tidak menjalankan perniagaan hanya untuk mendapatkan keuntungan semata-mata.''

Shafie yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sri Gading, di Dewan Sekolah Rendah Kebangsaan Parit Raja dekat sini hari ini.

Pengguna harus bijak buat pembelian bagi stabil harga barangan
KUALA LUMPUR 15 Mei - Pengguna di negara ini boleh menjadi golongan yang berkuasa menentukan harga barangan sekiranya mereka bijak membuat pilihan dalam pembelian barangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengguna mempunyai kuasa untuk membuat pilihan dan mereka perlu menggunakan kuasa itu bagi menjamin kestabilan harga barangan di pasaran.

Sehubungan dengan itu katanya, kerajaan sedang menjalankan kempen bagi menyediakan maklumat kepada rakyat mengenai harga barangan bagi melahirkan golongan pengguna yang bijak membuat pilihan.

"Kerajaan mahu pengguna mendapat maklumat tentang harga terbaik sesuatu barangan supaya mereka dapat membuat pilihan terbaik dan menentukan harga secara maksimum dan tidak menjadi mangsa kepada peniaga,'' ujarnya

Beliau memberitahu para pemberita demikian selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Bintang, di sini hari ini.

Apakah kesimpulan yang dapat kita buat dari tindakan kerajaan ini. Mereka hanya menghargai rakyat menjelang pilihan raya sahaja dan melupakan penderitaan rakyat selepas itu hinggalah menjelang pilihan raya yang akan dating. Menjelang pilihan raya mereka akan menurap jalan dan berbagai projek segera akan dilancarkan.

Dalam keadaan pilihan raya masih jauh, mereka menekan rakyat dan menjaga kepentingan pihak peniaga sahaja yang akan memberikan pulangan kewangan semata. Ambillah iktibar dari kempen-kempen yang di paksa rela ke atas rakyat sekarang ini sebagai bekalan dan pedoman bagi menentukan siapa yang sebenarnya yang lebih sesuai bagi memimpin kita menjelang 2007/2008 nanti.

Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 17.05.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: