![]()
RENUNGAN SERUAN YANG DIPERTUAN AGONG
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Akhbar Utama pada 21 April menyiarkan petikan seruan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sempena sambutan Maulidir Rasul seperti berikutKembalikan martabat umat -- Seri Paduka seru ulama, pemerintah sepakat rangka agendaDalam tercari-cari di manakah kebenaran yang sangat dilaungkan tersebut, adalah perlu satu perbandingan pemikiran digarap bagi mecari noktah kebenarannya. Perbandingan kali ini membuat beberapa petikan untuk dibuat perbandingannya. Mula mula petikan dari laman astorajabat.com seperti berikut:
Oleh:HELMI MOHD. FOAD dan NORLIZA ABD. RAHMAN KUALA LUMPUR 21 April - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menyeru golongan ulama dan pemerintah supaya bersepakat dalam merangka agenda untuk mengangkat semula martabat umat Islam.Seri Paduka bertitah, kedua-dua pihak perlu bekerjasama dan berusaha bersungguh-sungguh melakukan anjakan paradigma bagi mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih dinamik dan produktif.
Pada masa yang sama Tuanku Syed Sirajuddin mahukan umat Islam menyokong dan memberi kerjasama kepada kerajaan bagi memastikan semua program Islam Hadhari dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.
http://www.astorajabat.com/modules.php?name=News&file=article&sid=322Begitulah pandangan seorang penulis di laman astorajabat berpandukan akal fikiran.. Dalam hal yang sedemikian ianya hanyalah andaian andaian pemikiran sendiri sahaja. Menggunakan cara pendekatan yang sama kita lihat pula petikan berikut:MEMFENOMENAKAN ISLAM HADHARI (28/2/05)
Oleh Mohd. Khairi Wan AliKALAULAH Islam hadhari itu sebuah lagu ataupun dansa... Kena rentak dan iramanya, kena lengok dan gayanya, kena muzik dan liriknya, dan sebagainya, maka lagu atau dansa Islam hadhari akan berada di carta pop tertinggi. Lalu bergemalah irama dan dansa Islam hadhari di setiap pelosok negara, bandar, kota ataupun desa, walau betapa terceruk lokasinya. Bahkan menjadi ikutan di peringkat global mengalahkan segala lagu dan dansa yang pernah berkumandang.
Semua ini akan hanya berlaku, jika lagu atau dansa Islam hadhari direka oleh seorang ikon ataupun idola.
Masalahnya, Islam hadhari bukanlah sebuah lagu ataupun dansa. Islam hadhari adalah sebuah tafsiran merangkap amalan 'functional' untuk ummah di mana-mana... dan ia ditaja mula oleh Malaysia. Dengan itu, syarat seorang ikon atau idola tidak diperlukan lagi.
Apa yang diperlukan ialah fahaman dan semangat untuk melihat ummah berada dalam kesatuan yang utuh dan kukuh, yang bakal membawa kemajuan dan kecemerlangan setanding dengan bangsa atau peradaban maju-moden-maya Barat. Islam hadhari juga memerlukan kesungguhan dari ummah sekalian.
Sebelum itu (kesungguhan dan semangat), bagaimana dengan penerimaan? Apakah ia tidak penting? Apakah hanya perlukan ikutan dan patuhan?
Sekali lagi Islam hadhari bukan sebuah lagu atau dansa. Maksudnya, soal penerimaan bukanlah satu soal yang perlu dibicarakan seperti pembicaraan menerima keunikan sehingga terpesona seperti sebuah lagu ataupun dansa.
Masalahnya, inilah yang sedang berlaku di kalangan ummah, terutamanya di kalangan kakitangan kerajaan, sesetengah ilmuan dan juga pemimpin parti pembangkang. Mereka melihat Islam hadhari seperti menilai sebuah lagu atau dansa. Maka mereka pun pentingkan pada siapa yang mengubah mula, bagaimana rupa bunyinya atau lenggang rentaknya, dan sebagainya... bahkan mempersoalkan kesahihannya atau keperluan diperkenalkan, termasuklah penggunaan istilah hadhari itu sendiri.
Mereka lupa, sebagai ummah mereka sepatutnya berada dalam satu barisan amalan dan tindakan. Mereka tidak sepatutnya berada di luar barisan, kerana jika ini berlaku, mekanisme ujian terhadap keimanan mereka pun akan beroperasi. Sayangnya, mereka tidak sedar.
Mereka sering diulik oleh kefahaman sendiri. Kononya, mereka mendapat pendidikan yang sudah cukup tinggi dan memiliki ijazah yang bergolong-golong. Tetapi mereka alpa pada tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pendidik, ilmuwan ataupun cendekiawan. Mereka tidak jalankan fungsinya sebagai ilmuwan, atau ulama yang berhemah ataupun berhikmah untuk ummah dan negara. Mereka lebih seronok memilih untuk mengkritik, memboikot, meminggirkan arahan atau sebagainya. Ini kerana mereka terasa mereka sudah begitu maklum dengan kehendak dan ajaran Islam...
Apa yang aneh ialah pemimpin atau ulama, atau cendikiawan yang dipuja-puja itu tidak memberi sebarang sumbangan bermakna kepada ummah, negara dan masa depan. Sebaliknya mereka menjadi seolah-olah seperti petualang yang membuka ruang seluas-luasnya kepada musuh untuk menyerang ummah dan negara!
Mereka juga diceramahkan oleh pihak yang berkepentingan politik... dan sekali lagi mereka lupa bahawa golongan ini adalah yang ternyata telah tewas dalam pemilihan ummah. Kemenangan mereka juga (di Kelantan) adalah amat tipis, yang tidak boleh dijadikan ukuran penerimaan atau penolakan secara fenomenal.
Lagipun mereka sudah mempunyai pemimpin yang sah dilantik oleh ummah untuk menerajui sesebuah negara. Al-Quran telah pun menggariskan tatacara untuk ummah berinteraksi dengan pemerintah. Namun mereka masih lagi ingkar.
Adalah jelas golongan yang mempertikaikan perancangan pemerintah atau kerajaan untuk sama-sama menjayakan Islam hadhari sebagai golongan antiummah dan antinegara. Golongan ini pasti tidak akan membawa sebarang hasil yang bermakna.
Golongan yang bakal menjadi khairan ummah ialah golongan yang sering bermuzakarah, mengemukakan cadangan, serta mengambil bahagian dalam program yang memanfaatkan ummah dan negara. Tidak ada faedahnya mempunyai pendidikan pondok, lulusan al-Azhar atau Madinah, tetapi membawa misi pemusnahan...
Apa yang membahayakan ialah misi pemusnahan ini dilabelkan sebagai penegak amar makruf nahi mungkar, jihad di jalan Allah, berdakwah yang benar dan adil... Semua ini pula dilakukan untuk mempengaruhi mereka yang tidak mempunyai pedoman yang kukuh terhadap apa yang sepatutnya dipercayai atau dipegang sebagai sebuah ummah, sebagai sebuah negara yang berdaulat, sebagai sebuah negara Islam!
Lantas, pelajar-pelajar sekolah pun turut mentertawakan Islam hadhari. Lidah perli, serban dan jubah, janggut dan celak pun menjadi 'tanda' keimanan, ataupun ketakwaan. Pelajar-pelajar pula tidak pernah menyemak kembali segala ayat atau hadis yang telah dikumandangkan, sama ada betul ataupun tidak.
Jika situasi melihat Islam hadhari daripada perspektif lagu dan dansa terus berlaku, ummah sendiri yang rugi. Islam hadhari yang mula menarik perhatian bukan Muslim dan masyarakat antarabangsa untuk melihat Islam dari sudut yang harmonis, toleran, relevan dan functional, boleh jadi tersentak.
Situasi kestabilan politik, pengurusan dan pentadbiran yang efisien, kekayaan yang semakin melimpah, kepercayaan yang diraih di peringkat antarabangsa dan sebagainya, sepatutnya menjanakan ummah yang mengamalkan Islam hadhari ke suatu tahap perubahan yang fenomenal.
Melihat dari sudut ini, bolehlah ditanya siapa sebenarnya pembelot ummah dan negara. Mungkin sudah sampai masanya keimanan dan ilmu yang dikatakan ada pada sesetengah pihak itu dicabar... demi kemaslahatan ummah, negara dan Islam.Artikel : Islam Hadhari : Agama Baru, Babi Dan Perkampungan HadhariPak Ngah mengira setelah melihat kedua petikan diatas dapatlah pembaca membuat perbandingan bagi melihat dimana Islam Hadhari. Seruan oleh Yang DiPertuan Agong terhadap Islam Hadhari perlulah dilihat secara hakikatnya sama ada boleh diikut atau dilupakan sahaja. Pak Ngah pasti semuanya akan sudah membezakan antara kata kata dan amalan. Kata amat indah tetapi amalan itulah yang dilihat Allah.Berkali- kali UMNO cuba menafikan bahawa Islam Hadhari bukan Agama baru tetapi hanya satu pendekatan kononnya utk membawa kemajuan dan pembangunan kepada ummat Islam di negara ini.
Saya pada peringkat awal mengambil sikap berlapang dada dan cuba menanti penuh harapan agar Islam Hadhari benar benar menjadi satu pendekatan untuk membawa kesejahteraan dan keharmonian ummat , pembangunan dan kemajuan negara serta kejayaan yang cemerlang , gemilang dan terbilang.
Namun , setelah 3 tahun saya menanti dengan segala harapan , ternyata Islam Hadhari bukan sahaja gagal menunaikan harapan saya bahkan mengecewakan seluruh ummat Islam di negara ini. Kegagalan yang saya maksudkan bukanlah didorong oleh prasangka atau sikap prejudis terhadap Islam Hadhari , tetapi setelah meneliti dan menanti sekian
Saya tidak mahu kesilapan saya yang lalu berulang lagi . Setelah saya dengan segala sangka baik dan harapan menanti kejayaan gemilang yang dijanjikan oleh Projek Islamisasi 22 tahun yang lampau. ( Islamisasi adalah satu Projek Khas yang diasaskan oleh Tun Dr. mahathir di zaman pemerintahanya. )
Harapan saya yang setinggi gunung itu hancur dan meletup bagaikan gunung berapi Karakatua yang memuntahkan lavanya. Saya sangat kecewa dan sungguh lesu setelah menanti puluhan tahun , tiba - tiba segala harapan itu musnah sekelip mata sejurus berakhirnya pemerintahan Tun Dr. mahathir. ( Berakhirnya pemerintahan Tun Dr. Mahathir membawa kepada penutupan Projek Islamisasinya dengan 1001 kontraversi dan kegagalan.)
ISLAM HADHARI.
Apabila Datuk Seri Hj. Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pemerintahan negara ini , nampaknya beliau juga menggagaskan satu Projek Khas seumpama Islamisasi , iaitu Islam Hadhari.
Segala konsep dan pendekatan serta penakrifan terhadap Islam Hadhari telah dibuat. Pelbagai versi boleh ditemui dalam percubaan kerajaan UMNO dan BN menakrifkan Islam Hadhari. Versi Perdana Menteri tentunya menjadi ranking tertinggi mengatasi versi YADIM , JAKIM dan JASA. (yang mana versi masing masing adalah berbeza antara satu sama lain. )
Seminar , kursus dan penerangan untuk memahami Islam Hadhari mula digiatkan kepada jabatan - jabatan kerajaan , kementerian dan sebagainya. Kaki tangan kerajaan adalah diwajibkan dengan segala arahan untuk menyertai kursus dan seminar ini.
Pensyarah universiti , tokoh - tokoh akademik , Ngo dan Tokoh - tokoh individu tertentu digunakan untuk make up Islam Hadhari dengan segala kemahiran dan hujjah yang ada . Sehinggalah akhirnya Islam Hadhari boleh diterima oleh masyarakat.
APAKAH SAYA MESTI MENANTI LAGI ?
Kini , Islam Hadhari telah berusia kurang lebih 3 tahun. Persoalannya , apakah saya perlu menunggu lagi untuk menanti hasilnya ? Pengalaman silam ( menanti Islamisasi dlm tempoh 22 tahun ) membuatkan saya sangat berhati hati dan terlalu cuak terhadap istilah seindah bahasa ini.
3 tahun tempoh penantian setakat ini , bukan sahaja masih kabur hala tujunya ( kerana mereka masih tercari - cari versi penakrifan yang benar benar tepat dan berkesan ) tetapi juga telah jelas menunjukkan penyelewengan dan salah laku yang jauh terpesong dari jalan agama Allah swt. Perkara ini tidak lah sukar untuk dikesan justeru Agama Allah adalah jalan yang lurus tanpa simpang yang mengelirukan. Pula mempunyai "signboard" yang jelas dan panduan penunjuk jalan yang sangat diyakini. Sebarang tindakan yang tidak berasaskan laluan , pedoman dan panduan penunjuk jalan ini , maka ia adalah menyeleweng dan ditolak oleh agama Allah swt.
BERILAH MASA KEPADA ISLAM HADHARI ?
Apa yang berlaku dalam tempoh 3 tahun menjadikan saya sangat ragu untuk menanti dan menunggu lagi. Walaupun ada pihak menegaskan agar Islam Hadhari diberi masa untuk membuktikan kejayaannya . Masa boleh diberikan biarpun berapa lama yang mereka perlukan , tetapi mereka mesti memastikan perjalanan mereka tidak bergelumang dengan dosa , noda dan sangat diragui niat dan hasratnya.
• Konsert Sure Heboh yang telah mempunyai penyataan rasmi dari Majlis Mufti Negara nampaknya masih diteruskan oleh Islam Hadhari.
• Tindakan kabinet Islam Hadhari membela mereka yang terlibat dalam pesta Arak di Zouk Club Ampang dan mengarahkan supaya JAWI menarik balik saman yang dikeluarkan ke atas mereka , adalah tindakan yang menghiris perasaan ummat Islam sekaligus menghilangkan keyakinan masyarakat ummat Islam terhadap kewibawaan dan keikhlasan Islam Hadhari.
• Demikian juga sikap yang diambil oleh kerajaan Islam Hadhari Pahang yang meluluskan permit untuk Pesta Arak di Genting Highland pada 5 mac yang lalu ( dihadhiri 10 ribu pengunjung ) sekali lagi dilihat betapa Islam Hadhari telah mempermainkan sentimen ummat Islam.
• Menganjurkan Konsert Force of Nature yang pastinya menyaksikan bagaimana pergaulan bebas lelaki dan perempuan , pula dengan pakaian yang sangat menjolok mata dan tarian yang penuh asyik turut menambah luka bagi ummat Islam yang sekian lama hidup dalam resah dan gelisah kerana dihimpit oleh gejala sosial yang tidak terkawal.
• Kelancangan Sister in Islam ( SIS ) mendesak kerajaan supaya membatalkan semua peruntukan undang - undang dan peraturan ke atas pesalah akhlak dan ianya disambut baik oleh pihak Kerajaan Islam Hadhari , adalah satu lagi insiden yang sangat mengecewakan ummat Islam .
• Kehadhiran Pengasas Islam Hadhari , Datuk Seri Hj. Abdullah Ahmad Badawi ke Majlis Malam Anugerah Seri Angkasa dan juga Perasmian Formula one yang penuh dengan "panaurama" yang menyakitkan mata ( dengan aksi artis dan wanita yang berpakaian seksi dan menjolok mata) menjadikan dirinya hilang wibawa dan tanda harga diri untuk bercakap soal Islam. Sekali lagi tindakan ini dilihat sebagai satu sikap hipokrit pemimpin Islam Hadhari . Bercakap selembut lidah bahawa mereka mahukan Islam tetapi ternyata , mereka hanyalah menusuk sembilu beracun ke dalam jiwa rakyat ummat Islam yang menaruh sejuta harapan kepada mereka.
ISLAM HADHARI AGAMA BARU
Mencegah mungkar adalah ajaran murni agama Islam yang diwahyukan oleh Allah swt. Tindakan JAWI ke atas mereka yang minum arak dan berzina dalam Kelab malam Zouk di Ampang adalah salah satu daripada tindakan yang menepati Ajaran Agama Islam .Justeru itulah perintah Allah swt.
Namun malang 1000 kali malang , apabila ada dikalangan mereka yang berjawatan menteri dalam Kerajaan Islam Hadhari ini mengecam tindakan JAWI yang kononnya bercanggah dengan Konsep Islam Hadhari. Kalau cegah mungkar dilihat sebagai bercanggah dengan Islam Hadhari , walhal itulah yang diajar oleh Allah dan rasulnya , maka apakah tidak benar kalau saya katakan bahawa Islam hadhari adalah Agama Baru atau Islam Palsu yang dibawa oleh Kerajaan UMNO dan BN.
Setiap perlakuan mereka yang telah saya paparkan diatas ( di bawah tajuk : Berilah masa kepada Islam hadhari ? ) adalah jelas dannyata bagi mereka yang memahami Islam bahawa ianya adalah suatu yang bercanggah dengan Agama Allah swt. Tetapi mereka beranggapan malah mempertahankannya , bahawa itulah contoh perlaksanaan yang dikehendaki oleh Islam Hadhari. Iaitu pelakunya boleh melakukan maksiat dan boleh pula beribadat. Maka bukan kah ini ajaran baru yang sangat asing bagi Islam agama yang dibawa oleh nabi saw.
BABI
Saya kira , satu - satunya yang masih haram di zaman Islam Hadhari ini hanyalah babi. Sementara arak , judi , pendedahan aurat , pergaulan bebas telah mendapat logo halal dari Kerajaan Islam Hadhari.
Arak jadi halal sebab Malaysia beri lesen ( logo halal ) dan mereka yang terlibat dalam pesta arak dibela oleh kabinet dalam kes Zouk vs JAWI .
Judi jadi halal sebab Malaysia beri lesen ( logo halal ) dan mereka turut menjadikan industri judi sebagai hasil negara .
Pendedahan aurat dan pergaulan bebas menjadi halal sebab Malaysia meluluskan permit ( logo halal ) kepada penganjur - penganjur konsert hiburan termasuk yang membabitkan artis daripada barat.
Semuanya halal. Hanya babi sahaja yang haram. Sebab itu apabila timbul isu Sosej Usus Babi dan pemalsuan logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM , seluruh Malaysia kecoh . Pelbagai pihak menuding jari kepada pengilang dan pengeluar makanan berkenaan.
Kenapa mereka tidak buat kecoh atau menuding jari kepada pelaku pelaku maksiat , yang berpakaian menjolok mata , minum arak dalam satu pesta yang melibatkan orang - orang islam , judi yang merosak jiwa generasi , konsert - konsert yang menyuburkan barah sosial dalam negara kita
Kenapa mereka tidak sensitif dalam isu - isu seperti ini , sedangkan ianya sangat jelas mempermainkan logo haram yang datang daripada Allah swt. keatas segala jenis maksiat tersebut. Kenapa logo halal dari JAKIM menimbulkan rasa sensitif bagi pihak kerajaan Islam hadhari sehingga mereka mengambil tindakan drastik , bertindak tegas keatas mereka yang bersalah.
Sementara logo haram dari Allah tidak menimbulkan apa apa rasa sensitif dari pihak kerajaan Islam Hadhari , apabila ada dikalangan ummat islam melanggar dan memalsukannya.
Justeru itu , benarlah kini hanya babi satu satunya yang masih haram dizaman Islam Hadhari ini.
PERKAMPUNGAN ISLAM HADHARI
Saya hanya tersenyum lebar apabila mendengar satu lagi jenaka antarabangsa Kerajaan Islam Hadhari . Apabila mereka menemui satu lagi batu bersurat di Terengganu yang termaktub padanya Perkampungan Hadhari .
Saya tak sangka sejauh itu jenaka UMNO Terengganu setelah dulu mereka pernah mengecat burung merpati dengan warna biru sewaktu melancarkan Gelombang Biru di Terengganu.
Persoalan saya ringkas . Kenapa tiba - tiba sahaja Kerajaan Islam Hadhari menukar Sure Heboh kepada Perkampungan Hadhari apabila tiba giliran Negeri Terengganu ?
Ini satu lagi wayang kulit Kerajaan UMNO dan BN untuk mengelirukan rakyat dengan slogan Islam Hadharinya. Oleh Kerana Terengganu adalah antara negeri yang sangat kuat semangat islamnya dikalangan rakyat , maka mereka terpaksa melunakkan keadaan dengan serta merta menukar sure heboh menjadi perkampungan hadhari setelah Sure Heboh mendapat kecaman yang hebat dari rakyat.
Kalaulah mereka ikhlas dengan agama , kenapa tidak mereka melaksanakan projek Perkampungan Hadhari ini keseluruh negara bagi menggantikan Sure Heboh . Atau sebenarnya mereka bimbang tidak mendapat sambutan sebagaimana hambarnya sambutan di Terengganu ?
UMNO kelihatan macam daun lalang , sekejap ke kanan sekejap ke kiri . Tiada prinsip . Saya lihat Islam hadhari akan mengalami nasib yang sama , atau apakah Sure Heboh untuknyanyian , konsert dan hiburan sementara Perkampungan Hadhari pula untuk forum , al Kuliyyah dan nasyid.
UMNO ....UMNO ...berapa banyak lagi sandiwara yang akan dilakukan selepas ini.
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi
Hadharah Islamiyyah bukan Islam hadhari.Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.
Pak Ngah - 23.04.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)