UMNO(Baru): Lucah, Lucu  Dan Leceh
Oleh Muramatsu  (Laman M@RHAEN)


Alhamdullilah, kerana diberi ingatan diotak untuk ingat kata-kata Dr.Mahathir bahawa pertahanan mental adalah segala-galanya yang boleh membendung gejala pronografi dalam internet sewaktu negara mulai gila dengan IT dulu.

Itu adalah intisari dari petikan kata-kata beliau semasa menjawab soalan dari pihak yang mempersoalkan IT tanpa kajian mendalam dan kesan kemasukan pronografi secara bebas melalui internet  kepada generasi muda negara.

Selepas dia memperkenalkan IT dan kroninya sudah dapat banyak wang hasil dasarnya itu, apakah yang telah dilakukan untuk membendung kemasukan dan kesan pronografi melalui internet yang diperkatakan beliau itu?

Untuk menjawabnya, lihat petikan akhbar ini. Di depan mata dia sendiri kita boleh saksikan dan rasakan kesan dari dasar yang lucu dan melulu dulu.

Sekat lucah di Internet -- Guna perisian khas komputer bagi halang akses - Dr. Mahathir
Oleh: ROSNI HASSAN
MELAKA 23 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan, perisian khas komputer digunakan untuk menyekat orang ramai daripada mengakses kepada bahan lucah di Internet ke arah membendung keruntuhan moral di kalangan generasi muda khususnya.

Pada masa ini, kata bekas Perdana Menteri itu lagi, sesiapa sahaja mudah untuk akses kepada bahan lucah di Internet walaupun mereka tidak begitu mahir dalam menggunakan komputer.

Sehubungan itu, kata Dr. Mahathir, pendekatan itu wajar dilakukan mengambil kira kejadian jenayah seperti rogol dan bunuh yang semakin meningkat sekarang.

Lebih malang lagi, katanya, ia ada hubung kait dengan kebebasan yang diperoleh untuk melihat bahan-bahan lucah di Internet.
Oleh itu, beliau berpendapat, kerajaan dan ibu bapa perlu memasang perisian itu di pejabat dan rumah……………………….

Ke mana perginya ketahanan mental yang diperkatakan dulu? Adakah disediakan pendidikan yang mencukupi untuk mengatasi gejala ini?. Kenapa kini perlukan perisian untuk sekat bahan lucah seperti yang dikatakan itu? Ini adalah contoh-contoh yang dapat kita lihat betapa dasar yang diperkenalkan kepada rakyat separuh masak.

Cuba kita perhatikan pula kes penceroboh haram yang berjuta ramainya itu. Kes ini masih panas dan belum selesai. Dipercayai masih beratus-ratus ribu lagi darinya yang besar berbuat apa saja dalam negara tanpa dikenakan tindakan undang-undang. Dalam keadaan beberapa mekanisma yang sudah diperkenalkan, namun kini ada pula mekanisma lain yang baru.

Lihat petikan ini

Pekerja Indonesia boleh masuk guna visa pelancong
Oleh Rashidi Karim

PADANG BESAR: Rakyat Indonesia yang mahu bekerja semula di negara ini dibenarkan masuk menggunakan visa pelancong dan selepas itu baru memohon mendapatkan permit kerja daripada Jabatan Imigresen.

Ini berikutan sambutan dingin terhadap perkhidmatan pusat khidmat sehenti yang diwujudkan khas bagi menguruskan kemasukan semula pendatang tanpa izin Indonesia selepas proses pengampunan baru-baru ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata kelonggaran itu bagaimanapun hanya diberikan kepada kumpulan pekerja asing tanpa izin dari Indonesia yang sudah diberi pengampunan.

"Kita menyedari ramai pendatang tanpa izin dari Indonesia menggunakan visa pelancong untuk bekerja di negara ini. Mereka bertindak demikian kerana tidak tahan kerenah birokrasi dan bayaran tinggi dikenakan pihak tertentu.

"Kita meminta mereka tampil memohon mendapat permit kerja yang sah dengan mengemukakan bukti mereka pernah diberi pengampunan kerajaan sebelum ini," katanya selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar di Sekolah Menengah Datuk Jafaar Hassan, di sini, semalam……..

Seperti yang kita jangka – berdasar pengalaman pemerhatian, pencabulan kepada peraturan dan undang-undang dilakukan sendiri oleh pembuat peraturan dan undang-undang. Petikan di atas ini jelas kepada kita, menteri dan kakitangannya yang jaga peraturan supaya orang lain jangan langgar itu sendiri melanggarnya. Rasanya tidak ada negara berdaulat lain selucu ini. Tabiat pinda pinda pinda pinda ini masih berleluasa walaupun tidak pernah dikuatkuasakan.

Bagaimana hendak bertaraf dunia seperti yang disebut oleh Menteri Pendidikan ini. Sedangkan hal-hal keselamatan dan sempadan negara pun tidak ada jalan yang serius dan konsisten.

Sekolah kebangsaan akan bertaraf dunia
Oleh Sazarina Shahrim
KLANG: Kementerian Pelajaran akan menjadikan sekolah kebangsaan bertaraf dunia dan medium dalam mengukuhkan integrasi kaum di negara ini, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, kementeriannya akan memastikan sekolah kebangsaan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa, bukannya setakat sekolah aliran lain seperti Cina atau agama.

Justeru, katanya, masyarakat perlu menukar persepsi bahawa sekolah kebangsaan kurang memberangsangkan atau tidak mampu melahirkan pelajar cemerlang.

Tiada sebab mengapa sekolah kebangsaan tidak boleh bersaing. Apabila kita bercakap sekolah kebangsaan perlu kompetitif, saya mahu mereka mempunyai tanda aras yang tinggi iaitu peringkat dunia,?katanya selepas merasmikan Mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Kapar di sini, semalam…………………..

Penyakit extravaganza yang melanda kebanyakan pemimpin UMNO(baru) seperti ini nampaknya belum sembuh betul. Sekolah kebangsaan hendak bertaraf dunia. Mungkin guru-guru di sekolah rendah pun pening, dunia mana yang nak diambil untuk disetarafkan seperti dikata oleh menteri pelajaran, usahkan nak tarafkan sekolah rendah, kementerian pun asyik tukar nama saja. Kita yang bukan guru ini pun dapat rasakan lecehnya perkara ini, apatah lagi guru-guru, bertambah lecehlah rasanya.

Bagaimana hendak bertaraf antarabangsa jika kantin sekolah kotor seperti yang dilapor ini. Ini corak cara menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan yang hendak menaraf duniakan sekolah.

Kantin kotor: Kelantan diminta jangan salahkan kementerian

KLANG 22 Mei - Kementerian Pelajaran meminta kerajaan Kelantan turut bertanggungjawab dan tidak hanya menuding jari kepada pihaknya bila timbul isu kekotoran kantin sekolah seperti mana yang dilaporkan di negeri tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, masalah itu patut ditangani bersama oleh kerajaan negeri kerana sekolah-sekolah berkenaan terletak dalam negeri terbabit.

"Takkan dia (kerajaan negeri) tak bertanggungjawab, dia juga perlu melihat masalah wabak penyakit di Kelantan yang ada hubung kait dengan kepimpinan dan cara mereka memimpin negeri itu.

"Saya tak mahulah mengajar tapi jangan cuba nak tuduh kita (bersalah) dalam keadaan mereka memerintah.

"Kalau negeri dia pun nak salahkan kita, baik serahkan sahaja (Kelantan) kepada Barisan Nasional,'' katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kapar di sini hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Jabatan Kesihatan Kelantan menutup 24 kantin sekolah rendah dan menengah di Kota Bharu, Bachok dan Tumpat selama 14 hari sejak Ahad lepas berikutan keadaan premisnya yang kotor.

Semalam, Hishammuddin berkata beliau sendiri akan turun padang bagi menutup kantin sekolah yang kotor jika pengusahanya masih berdegil tidak menjaga kebersihan……………………...

Sekolah yang diarah tutup itu semuanya di Kelantan ekoran dari penyakit tempoh hari. Adakah sekolah di negeri lain dibuat pemeriksaan kebersihan?. Tidak mustahil banyak sekolah didapati kotor di negeri lain juga jika diperiksa. Yang penting sebagai menteri sepatutnya kena fikir, semua sekolah di Malaysia, adakah semuanya bersih dan selamat untuk digunakan? Kemudian adakah dilakukan pemeriksaan berjadual dan berkala?

Malulah kepada berok dan monyet dihutan, cita-cita nak menaraf duniakan sekolah, tetapi aspek kesihatan dipinggir tanpa dipedulikan. Bila berlaku penyakit barulah tercengang-cengang macam orang bengang.

Kalau Menteri Pendidikan nak tau, di Jepun (sesuai dengan hasrat menteri mengantarabangsakan sekolah), pihak sekolah (rendah) periksa makanan murid-muridnya yang dibekalkan oleh ibu mereka. Di sana guru akan kira kalori dan komen apa yang tak cukup. Kalau tak cukup sayur, mereka akan maklumkan kepada penjaga perlu tambah sayur.

Betapa titik beratnya mereka kepada kesihatan murid-muridnya. Adakah Kementerian Pelajaran mempunyai langkah seperti ini untuk mengajar tentang kebersihan kepada murid-muridnya?

Ini antara sekelumit contoh yang mana di negara kita tak pernah dibuat dan dilakukan secara praktikal secara berterusan, sebaliknya pinda-pinda-pinda hingga boleh jadi gila.

Muramatsu, Jepun.  25.05.2005  (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: