BELILAH BARANGAN MURAH: 
KEMPEN MENGABUI SIBUTA

Oleh Muramatsu  (Laman M@RHAEN)


Dari kronologi langkah-langkah yang dikemukakan oleh Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Shafie Apdal dalam usahanya membanteras penyeludupan dan menarik subsidi diesel, ia menunjukkan rancangan berkenaan lebih banyak menyusahkan daripada menyenangkan rakyat, terutamanya yang berpendapatan rendah.

Daripada kes-kes stesen minyak yang putus bekalan diesel, kenaikan harga diesel dan kempen beli barangan murah ini, ia membuktikan menteri dan kementeriannya tidak mempunyai langkah jangka panjang yang tidak membebankan rakyat.

Menteri dan kementerian terbabit nampak seolah-olah panik bila rancangan menyekat penyelewengan diesel gagal.

Jika ia mempunyai langkah-langkah yang teratur dan sistematik untuk menjaga kepentingan umum dan rakyat, dijangkakan tidak berlaku kekurangan diesel sehingga menjejaskan aktiviti harian yang berfungsi menggunakan diesel.

Diyakini kekurangan melampau diesel, kenaikan harga diesel, kenaikan harga barangan dan kini kempen beli barangan murah di gedung perniagaan besar-besar saja menunjukkan tindakan panik menteri dan kementerian terbabit.

Menteri dan Kementerian berkenaan tak perlu tolong kempen bagi pihak Carrefour, Mydin dan gedung-gedung besar yang lain, kerana gedung mereka adalah gedung beli borong.

Jika Menteri dan Kementerian tidak kempen pun, memang mereka sudah lama berjual cara borong dengan harga murah.

Bila Menteri dan Kementerian berkenaan kini tolong kempen untuk mereka, ini membuktikan lagi betapa keringnya idea dan betapa paniknya menteri ini.

Kempen beli barang murah di gedung-gedung besar itu bolehlah dianggap sebagai mengabui mata orang buta. Orang yang celik akan faham permainan gaya kempen konspirator jahat ini.

Bagi memastikan kempen itu mencapai matlamatnya, rangkaian kerjasama dengan pasar raya besar seperti Tesco, Giant, Carrefour dan Mydin selain beberapa pasar basah di kampung-kampung dan kawasan terpencil di seluruh negara, diwujudkan.
Sebagai rakyat marhaen yang prihatin dengan kempen panas-panas taik ayam Menteri-menteri dan derita rakyat, kita tunggu dan lihat perkembangan kempen jenis ini dengan penuh minat.

Menteri berkenaan juga sebut kononnya lebih 14,000 sukarelawan wanita akan digunakan untuk memantau kenaikan harga barangan. Ini juga satu hal yang lucu. Ia disebut lucu kerana hal yang menyebabkan timbulnya masalah ialah penyeludupan minyak subsidi. Kenapa tidak diwujudkan sukarelawan berbelas ribu untuk memantau penyeludupan minyak subsidi?

"Kita telah mengarahkan setiap Exco Hal Ehwal Pengguna negeri mengadakan pemantauan melalui anggota penguat kuasa dan lebih 14,000 sukarelawan wanita di seluruh negara,'' katanya.
Jika ia boleh dikerahkan sebegini rupa untuk membendung kenaikan harga barang, kenapa tidak boleh berbuat perkara yang sama ke atas penyeludupan minyak diesel subsidi yang membawa kepada masalah kenaikan harga barangan?

Adakah ini corak dan langkah menteri yang bertamadun serta dikatakan sudah maju itu?

Perbuatan dan kempen ini sebenarnya adalah untuk melarikan perhatian rakyat kepada punca masalah sebenar iaitu penyeludupan dan penyalahgunaan diesel subsidi. Masalah ini tidak selesai, tetapi beban rakyat bertambah.

Ia sama saja dengan berpuluh kempen-kempen yang dibuat. Kita jangan lupa pernah satu masa kempen inflasi sifar yang dilakukan, tetapi sampai di mana kempen itu dapat membantu untuk mengekang inflasi yang kini diperkatakan semula?.

Soalnya sekarang bukan kempen. Tetapi sistem. Bagaimana hendak mengajak rakyat ikut kempen sedangkan sistem yang dibuat tidak diikuti? Bagaimana?

Sistem yang dibuat tidak berjalan dengan baik kerana ia penuh dengan “sistem-sistem” yang dibuat untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu saja.

Kempen biasanya digunakan untuk melicinkan lagi sistem yang sedang berjalan, bukannya menggunakan kempen untuk menyelesaikan masalah kerana sistem yang tidak berjalan.

Malang bagi rakyat kerana mempunyai pemimpin yang perasan mereka “maju” dan “tamadun” sehinggakan “lebih maju” dan “lebih tamadun” dari pemimpin-pemimpin negara-negara maju yang lain dengan reaksi dan tindakan untuk selesaikan sesuatu masalah demi menjaga kepentingan rakyatnya.

Adakah ini yang dimaksudkan dengan “Kemajuan Cara Kita Sendiri” yang kerap dituturkan oleh mereka?

Muramatsu, Jepun.  14.05.2005  (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: