AL-FATIHAH
Bekas Adun Keloboran Meninggal Dunia
Oleh: Mohd Sayuti Omar (MSO) - Laman M@RHAEN


Kota Bharu: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran, Tumpat Haji Nordin Yaacob, telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 9.30 malam ini (13 Julai 2005) di Hospital Besar Kota Bharu dalam usia 62 tahun.

Isterinya Hajjah Fatimah Ahmad bersama empat orang anak-anaknya berada di sisi Allahyarham hingga ke saat-saat terakhir.

Allahyarham sebelum ini sering berulang alik ke hospital kerana penyakit buah pinggang dan kencing manis.

Beliau menghidap penyakit itu sejak lima tahun lalu, bagaimana pun keadaanya semakin serius dan kesihatannya semakin terjejas sehinggalah kedua belah kakinya terpaksa dipotong.

Keadaan kesihatan Allahyarham semakin tenat dan menjadi kritikal kira-kira tengah hari tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Hajjah Fatimah Ahmad dan empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan.

Allahyarham memenangi kerusi Kelaboran selama dua penggal dari tahun 1995 hingga tahun 2004.

Dalam pilihan raya tahun 1995 Allahyarham bertanding atas tikit parti semangat 46. Ekoran pembubaran parti itu tahun 1996 beliau bertindak menyertai Pas dan menjadi penceramah Pas yang popular.

Tahun 2004 lantaran kesihatannya tidak mengizinkan beliau tidak bertanding dan tempatnya diganti oleh Zaki Ibrahim.

Beliau juga pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), dan memegang jawataan itu selama setahun.

Sebelum menjadi wakil rakyat, Allahyarham merupakan seorang pegawai kerajaan negeri berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Jajahan dan berkhidmat di beberap jajahan termasuk di Tumpat dan Pasir Puteh. Sebelum menyertai perkhidmatan pegawai kerajaan Allahyarham pernah menjadi guru.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan Husam Musa dan Setiausaha Badan Perhubungan Pas, Takiyuddin Hassan di antara pemimpin Pas yang terawal menziarahi jenazah Allahyarham di Hospital Besar Kota Bharu.

Menurut anaknya, Nazri, jenazah bapaknya akan dibawa pulang ke rumahnya di belakang pejabat Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Pengkalan Kubur dan dijangka akan dikebumikan tengah hari ini, 14 Julai 2005.

Mohd Sayuti Omar - 13.07.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN