Anwar terdesak dalam program Hardtalk
Petikan drp: MalaysiaKini


Oleh Lee Ban Chen
18 Mei, 05 1:21pm

Kata penulis MGG Pillai, jarang ada tokoh yang tidak terjejas kehormatan dan reputasi mereka selepas muncul dalam program Hardtalk yang umpama pisau yang mempunyai dua mata itu. Oleh itu, tokoh politik seperti Tony Blair, Perdana Menteri British, telah enggan diwawancara.

Pillai menganggap Anwar telah didominasi oleh pewawancara Hardtalk Steven Sackur dan beliau terlalu mempertahankan diri, sehingga kehilangan peluang keemasan untuk menyatakan rancangan masa depannya dan untuk membuktikan bahawa dirinya lebih cekal daripada apa yang digambarkan oleh para pengkritiknya.

Turut dikesali ialah Anwar telah menyimpang daripada pendirian yang telah ditegaskan, iaitu beliau sesungguhpun tidak dapat melupakan apa yang Dr Mahathir buat terhadapnya, beliau telahpun maafkan Dr Mahathir.

Saya sempat mengikuti program Hardtalk tersebut, dan mendapati Anwar bukan sengaja mahu menimbulkan semula tuduhan terhadap Dr Mahathir (Mohamad) bahawa beliau memiliki 70 peratus saham TV3, tetapi juga mahu menangkis bidasan pewawancara bahawa beliau juga ketika berkuasa dan menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu, pernah menguasai media massa.

Anwar mengalihkan tanggungjawab itu kepada Dr Mahathir demi menjaga nama baik sendiri. Perbuatan ini rasanya tidak begitu bijak, kerana jika beliau tidak pernah menentang dasar Umno/BN dalam menguasai media massa, maka tindakan mengalihkan tanggungjawab itu kepada bosnya dahulu, juga boleh dianggap sebagai tidak bertanggungjawab.

Apabila Dr Mahathir melenting mendakwa bahawa beliau telah difitnah dan ditikam dari belakang oleh Anwar untuk mempertahankan diri, sekali lagi Anwar tidak berdiam diri, tetapi mengulangi tuduhannya sepertimana yang terkandung dalam testimoni bersumpah beliau yang dikemukakan di mahkamah pada tahun 1999.

'Ditikam dari belakang'

Ini bermakna kontradiksi beliau dengan Dr Mahathir telah tercetuskan semula. Jika pada tahun 1999, Dr Mahathir tidak berani mencabar testimoni bersumpah Anwar di mahkamah, kali ini beliau terpaksa membela dirinya yang didakwanya telah ditikam dari belakang oleh seseorang yang tidak mengenang jasa baiknya bagi meraihkan simpati.

Mungkinkah kali ini lebih ramai orang yang akan bersimpati dengan pemimpin berumur yang sudah bersara itu? Mungkin ada juga yang akan meraguinya, (kerana) apabila Dr Mahathir dilantik sebagai pemegang amanah bagi kepentingan Umno dalam TV3, Anwar juga tidak pernah menentang.

Konflik Anwar-Mahathir yang dicetus semula itu, rasanya tidak membawa sebarang makna strategi bagi agenda gerakan reformasi. Ia malah boleh disalahanggap bahawa Anwar telah ketandusan isu dan visi, dan Dr Mahathir yang telah dimaafkan dahulu itu, telah dijadikan sasaran semula.

Bekas Setiausaha akhbar Dr Mahathir, Mattias Chang berasa hairan kenapa tiada seorang pun ahli Parlimen BN yang tampil menyanggah tuduhan Anwar terhadap Dr Mahathir itu.

Dalam keadaan sedemikian, beliau sebagai seorang warga Malaysia kononnya tanpa arahan sesiapa telah mencabar Anwar untuk berdebat dengan syarat Anwar memberi bukti terhadap tuduhan bahawa:

Tindakan undang-undang

Di samping itu, Mattias juga mendedahkan bahawa Dr Mahathir telah meminta nasihat peguam mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar.

Nampaknya Dr Mahathir agak terpencil dalam kontroversi kali ini, kerana para pemimpin Umno sekarang cukup berhati-hati agar 'tidak hangus dek bahang anti-rasuah', jika Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa menggunakan senjata ini untuk menghapuskan musuh politik dan mengukuhkan kuasanya.

Dalam percaturan politik dan pergelutan kuasa dalam Umno, adakah faktor Anwar masih memainkan sebarang peranan? Mungkin masih ramai, termasuk kawan dan lawan Anwar yang berminat untuk mengetahui jawapannya!

Namun, tentu lebih ramai lagi penyokongnya yang menaruh harapan agar Anwar lebih menumpukan perhatiannya dalam penggubalan agenda-agenda reformasi melalui wahana badan-badan bukan kerajaan, Parti Keadilan Rakyat dan Barisan Alternatif, jika ianya masih boleh disusun semula dan digerakkan kembali, sejajar dengan arus perkembangan politik terkini negara kita.

Yang anehnya ialah Timbalan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin menganggap Anwar telah bangkrap politik. Pernahkah seseorang yang bangkrap politik masih disambut dengan begitu meriah sekali di dalam dan luar negeri, dan gerak-gerinya tanpa putus-putus mendapat liputan media antarabangsa termasuk diwawancara dalam program Hardtalk BBC?

Seperti kata bidalan nenek moyang kita...Fikirlah dengan otak, bukan dengan kulit tapak kaki...

Sumber: MalaysiaKini
Kiriman: WM Rasmi LR - 19.05.2005
(Emel M@RHAEN: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: