![]()
Petikan daripada MalaysiaKini:
Lebih 20 Orag Ditahan di KLCC
Fauwaz Abdul Aziz | Jan 26, 08 6:28pm - - Laman M@RHAEN
Lebih 20 orang ditahan oleh polis dekat KLCC sebelum berlangsungnya perhimpunan membantah kenaikan harga minyak anjuran Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes).
Pada kira-kira jam 2.45 petang, tujuh sukarelawan PAS, termasuk seorang wanita, ditahan di jalan masuk ke KLCC di Jalan Ampang dan dibawa ke ibupejabat kontinjen polis Kuala Lumpur untuk disoalsiasat.
Pada hampir masa yang sama, dekat stesen LRT Ampang Park, lima lagi wanita dan tiga lelaki turut ditahan berhubung perhimpunan tersebut.
Wartawan Malaysiakini, Syed Jamal Zahiid turut ditahan. Beliau ditahan ketika bertanya kepada seorang pegawai polis berhubung beberapa tangkapan yang dibuat di kawasan Ampang Park.
Pejabat Malaysiakini menghubungi Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman yang memberi jaminan bahawa Syed Jamal akan dibebaskan selepas polis mengambil kenyataannya.
Pada kira-kira jam 3.30 petang, kira-kira 200 penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berarak dari Ampang Park menuju ke KLCC dihalang oleh pihak polis.
Sepuluh minit kemudiannya, sekurang-kurangnya 12 penyokong dan pemimpin PSM ditahan selepas bergelut selepas berlaku pergelutan kecil dengan pihak polis.
Kelmarin, polis mengisytiharkan perhimpunan hari ini sebagai haram dan memperolehi perintah mahkamah melarang orang ramai menghadirinya.
Mengulas mengenai perintah mahkamah tersebut, Presiden PSM, Dr Nasir Hashim berkata, pihak polis menggunakan mahkamah untuk mengekang hak kebebasan asasi.
“Ianya satu perintah mahkamah yang aneh. Rakyat hanya berjalan-jalan dan mereka ditahan. Saya rasa para peguam patut mencabarnya kerana kita tidak boleh meluahkan rasa tidak puashati di negara ini," katanya.
Sebelulm itu, kira-kira 100 anggota polis mengawal di sekitar kawasan KLCC bagi menghalang berlangsungnya perhimpunan anjuran Protes itu.
Para saksi melaporkan polis juga memasang benteng di perhentian teksi di pintu masuk dari Jalan Ampang menuju ke arah KLCC.
Bagaimanapun, anggota Unit Simpanan Persekutuan dan trak meriam air tidak kelihatan di situ.
Anggota polis juga ditempatkan dekat stesen LRT Ampang Park di mana orang ramai sepatutnya berhimpun sebelum berarak ke KLCC.
Manakala urusan perniagaan di KLCC berjalan seperti biasa. Tiada sebarang laporan mengenai jalan ditutup.
http://www.malaysiakini.com/news/77484
26.01.2008
Catatan:
Laman ini hanya akan menyiarkan terbitan tertangguh artikel/berita pilihan daripada MalaysiaKini bagi berlaku adil kepada MalaysiaKini dan pembaca MalaysiaKini yang berlanggan. Untuk mendapatkan artikel/berita awal yang lengkap, anda dinasihatkan berlanggan MalaysiaKini.
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://www.marhaen.org/v1 Tajaan: PerigiDuit
Emel