Kezuhudan Bukan Lagi Kebanggaan PAS!
Oleh: Marwan Hadid Jr - Laman M@RHAEN


Sebelum ini banyak sekali tulisan yang menceritakan mengenai kezuhudan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berserta barisan Exconya. Ia dipuji bukan sahaja dalam negara bahkan melimpah ke negara tetangga dan belahan dunia yang lain. Selain kekuatan jihad, kesufian positif juga merupakan dimensi penting dalam menjana kebangkitan gerakan Islam. Jika Rasulullah zuhud dengan bangkit membebaskan al-Haram dari rejim Quraisy, begitu juga Ibnu Taimiyyah yang memprakasai gerakan melawan Tartar yang menyerbu Baghdad. Kini dalam era moden, kezuhudan Sheikh Ahmad Yassin menjadi uswatun hasanah yang boleh dikira unggul.
 
Di peringkat awalnya, kerajaan negeri Kelantan mula mencontohi dimensi sufi ini. Dan ia menjadi rahsia besar di mana titik kekuatan kerajaan PAS di Kelantan. Namun kini, kebanggaan tersebut mula hilang dan pudar perlahan-lahan. Malah ia bertentangan dan beralih arah kepada kemewahan ala-UMNO. Jika pemimpin kelas atasan UMNO menggunakan Mercedes, maka pemimpin gerakan Islam kini tidak ketinggalan menggunakan Mercedes atas alasan untuk menzahirkan imej yang korporat dan professional. Kalau sebelum ini ada pemimpin PAS yang menggunakan Mercedes, alas an pemimpin PAS tersebut telah kaya sebelum masuk PAS lagi. Tetapi di Kelantan, duit untuk membeli Mercedes tersebut duit Rakyat bukannya duit Exco-exco! Tidak dapat dinafikan bahawa di sini mungkin timbul soal berjimat cermat dengan membeli Mercedes re-cond, bukannya Perdana yang sebelum ini didakwa sengaja di sabotaj oleh Proton ke atas kerajaan negeri Kelantan yang menyebabkan usaha pembaikan menelan belanja yang besar. Tetapi sedarkah kita bahawa nama Mercedes sudah cukup sinonim dengan kemewahan, kekayaan dan kemegahan! Pembelian tujuh buah Mercedes S280 lagi yang diluluskan oleh Timbalan Menteri Besar Ustaz Ahmad Yaakob baru-baru ini jelas menggambarkan kepincangan dan musnahnya dimensi tasawuf dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri di Kelantan. Reputasi keperibadian Islami yang ditonjolkan oleh Tuan Guru bukannya dicontohi malah dimusnahkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan.
 
Saya dari keluarga PAS tradisi amat janggal melihat kebobrokan ini. Pendidikan saya hingga kini tidak mengajar apa itu yang dinamakan itu pembaziran. Benarlah apa yang dipertegaskan oleh Abu Dzarr terhadap Khalifah Uthman bahawa “jika kamu membangunkan Istana dengan harta kamu ia membazir, namun jika kamu menggunakan harta rakyat ianya kezaliman!” Justeru saya amat mengharapkan pemimpin dari aliran pro-ketelusan di Kelantan memainkan peranan bagi menangkis serangan tiga Abdul ini yang mengeksploitasikan kelemahan Tuan Guru. Mereka bukan sahaja mahu menyingkirkan Tuan Guru, malah mahu mencabut  seluruh individu-individu dari aliran madrasah Tuan Guru ini. Mereka seolah-olah tidak sabar menunggu kematian Tuan Guru. Mereka telah lupa bahawa detik kematian Tuan Guru itu urusan Allah, bukannya urusan tiga Abdul! Ingatlah kembali semua pemimpin PAS, Mercedes adalah lambang kemewahan dunia dan masih banyak lagi jenama kenderaan lain yang boleh dibeli dan diguna-pakai. Janganlah, nasib pemimpin kerajaan PAS di Terengganu diulangi oleh tetangga akrabnya juga. Harapnya tidak!

- Marwan Hadid Jr. - 23.01.2005  (sunringan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: