Kerajaan Sengaja Cetuskan Krisis Melalui Catuan Disel

    Oleh Marhaintua

    Kekurangan bekalan disel masih berterusan sehingga mencetuskan banyak masalah pada pengguna. Apabila tuan punya pengangkutan kerugian besar kerana kenderaan terpaksa beratur berderet-deret menunggu disel, sudah tentu bebanan kerugian masa dan kos dianjak kepada para pengguna.

    Apakah kerajaan tidak sedar akan libasan ini? Sampai bilakah catuan ini akan diteruskan semata-mata kerana kerajaan mahu menangkap golongan yang menipu pembelian disel dan menyorokkan bekalan disel?

    Alangkah aneh apabila tujuan catuan ini semata-mata untuk menyekat disel daripada diseludup ke negara jiran, tetapi yang menjadi mangsa adalah tuan punya kenderaan, pemandu kenderaan itu dan para pengguna yang menerima padahnya?

    Laluan ke negara jiran kita diawasi oleh pihak imigresen, kastam dan polis serta unit pencegah penyeludupan. Kalau disel masih diseludup ke luar negara, unit penguatkuasaan kita tidak cekap dan terlalu kuat menerima rasuah. Di sanalah patutnya kerajaan membuat perubahan. Bukannya di stesen minyak yang memberikan khidmat kepada pengangkutan yang tidak bergelumang dengan penyeludupan.

    Terdapat beberapa insiden penangkapan pihak yang menyorokkan disel secara membeli di pam dan mengepamnya ke dalam tangki khas. Tetapi, kenapakah kerajaan menghadkan bekalan disel di setiap pam? Apakah semua tuan punya stesen pam terlibat dengan penyeludupan ini?

    Sepatutnya ada satu rencana khas agar stesen pam dibuat di merata tempat di mana kenderaan tertentu boleh membeli dan mendapatkan bekalan disel dengan mudah. Contohnya, ada pam minyak di tempat khas hanya untuk digunakan oleh bas-bas sekolah. Setiap rangkaian polis stesen dibenarkan mempunyai bekalan minyak sendiri tanpa menggunakan stesen minyak pam awam.

    Hospital pun harus mempunyai bekalan minyak sendiri supaya ambulans dan kenderaan hospital tidak perlu beratur di stesen awam. Kakitangan hospital boleh beli minyak dengan memotong gaji bulanan.

    Yang penting sekarang, kerajaan harus batalkan cara mencatu bekalan disel di stesen minyak. Ternyata tindakan kerajaan ini tidak akan mendatangkan hasil yang berkesan. Seperti yang berlaku pada masa dahulu lagi, tindakan mencatu semacam ini tidak akan membawa banyak kebaikan. Ia boleh dianggap sebagai hanya satu helah untuk mencetuskan krisis bagi melencungkan penelitian rakyat marhaen daripada segala kepincangan pentadbiran kerajaan Dolah Badawi.

    Memang patutlah menteri yang menyibuk dalam hal ini meletakkan jawatannya. Nampak sangat dia tidak tahu menjalankan tugas

    Marhaintua <marhaintua@hotmail.com>  27 April, 2005  (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


    Hantar artikel ini kpd sahabat: