KEWAJIPAN MENJAGA AKIDAH DAN MEMELIHARA AKHLAK
Oleh: Ishak Kadir - Laman M@RHAEN


Seseorang yang telah menerima taufik dan hidayah kebenaran. Hendaklah ia bersyukur dan meneguhkan akidahnya itu serta memeliharanya dari segala apa yang boleh merosakkannya.. Kerana agama Islam sahajalah yang diredhai Allah dan yang menentukan nasibnya untuk mencapai kebahagiaan yang sebenar-benarnya, khasnya di akhirat kelak.

Firman Allah yang bermaksud : " Wahai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepadaNya dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam." ( Ali-Imran : 102 ) Maksud ayat di atas mewajibkan setiap individu sentiasa menerima dan menghormati Islam ( hukum-hukum yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW ) pada iktikad, segala tutur kata dan perbuatannya supaya apabila datang matinya pada bila-bila masa pun, ia berada dalam keadaan beragama Islam.

Setiap individu wajib mengekalkan akidah kepercayaannya hingga kepada saat ia menghembuskan nafasnya yang akhir. Ia mestilah menjaga akidahnya dari menyeleweng dan rosak sama ada melalui percakapannya, perbuatannya dan iktiqadnya.

Rosaknya akidah dinamakan riddah yang dita'rifkan oleh ulama' seperti berikut : " Riddah ertinya berbalik menjadi kafir setelah beragama Islam dan orang yang melakukan yang demikian dinamakan murtad. "Riddah ialah seburuk-buruk dan sekeji-keji jenis kufur. Akidah sangat penting dalam kehidupan manusia kerana akidah dikira sebagai asas Islam dan sebagai penentu atau pendorong baginya.

AKIDAH SEBAGAI ASAS

Akidah dikira sebagai asas Islam. Tanpanya tidak tertegak Islam dan kehidupan individu. Akidah yang rosak mengakibatkan runtuhnya pegangan Islam seseorang. Sesungguhnya Allah SWT menurunkan wahyuNya memberi penumpuan yang serius terhadap persoalan akidah supaya setiap orang Islam selamat akidah dan sejahtera kehidupannya.13 tahun Nabi Muhammand semasa di Makkah, adalah zaman pembentukan akidah. Kesannya sahabat Rasullullah SAW memiliki akidah yang teguh, sentiasa yakin dengan Islam dan sentiasa menjunjung perintah RasulNya.

AKIDAH SEBAGAI PENENTU ATAU PENDORONG

Akidah memainkan peranan penting dalam menentukan perjalanan hidup seseorang. Akidah adalah penggerak dan pencorak kehidupan. Akidah yang lemah mempenggaruhi gaya hidup negatif seseorang. Biasanya mereka yang tidak memiliki akidah yang jelas dan betul akan menghadapi berbagai masalah dalam kehidupan dan terdedah kepada berbagai-bagai kemungkinan.

FUNGSI AKIDAH DALAM PEMBENTUKAN PERIBADI MUKMIN

Antara fungsinya :

1. Akidah menghindari kepercayaan kepada kekuasaan material.
2. Akidah menghindari sifat takut mati.
3. Akidah membentuk keperibadian yang tinggi .
4. Akidah membentuk ketenangan jiwa.
5. Akidah membentuk kehidupan yang baik.

Abu A'la al-Maududi dalam bukunya " Towards The Understanding of Islam ", merumuskan fungsi akidah dalam pembentukan peribadi sebagai berikut :

1. Menghilangkan pandangan hidup yang sempit serta membosankan.
2. Menanamkan kepercayaan terhadap diri sendiri dan tahu harga diri.
3. Membina sifat rendah hati dan sedia berkhidmat.
4. Membentuk manusia menjadi berbudi dan adil.
5. Menghilangkan sifat duka nestapa dan putus asa dalam menghadapi satu-satu persoalan.
6. Membentuk keperibadian yang teguh dan optimis.
7. Menanamkan sifat berani .
8. Memupuk sikap hidup berdamai dan redha.
9. Membentuk keperibadian yang sentiasa patuh kepada peraturan-peratuan Ilahi.

Sesungguhnya umat Islam pada hari ini sangat memerlukan kepada pembinaan akidah dan menanamkan rasa kebesaran Allah dalam hati, terutamanya disaat perkembangan kebendaan yang sangat pesat ini. Pembangunan kebendaan tanpa pembangunan akidah akan mengakibatkan pembangunan kebendaan itu akan hancur dan runtuh. Umat Islam perlu menterjemahkan pengertian akidah ini di dalam kehidupan mereka seimbang dengan pembinaan kebendaan dengan kerohanian dan semuanya akan dapat membendung gejala-gejala yang menimpa masyarakat hari ini diantaranya:

1. Pengaruh barat yang berteraskan kebendaan yang menguasai masyarakat dan ia menyumbang kepada kerosakan akhlak .
2. Alat sebaran am , media cetak dan elektronik memberi peluang yang luas kepada peminat hiburan.
3. Penyelewengan di dalam perniagaan dan pembangunan dan memperniagakan hak ramai.
4. Tidak amanah dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
5. Penumpuan manusia kepada pencapaian akedemik yang tinggi serta lupa tanggungjawab terhadap Allah.
6. Menggunakan wang bagi mempengaruhi sebahagian yang lain .
7. Pengaruh arak, judi, dadah dan sebagainya.

Gejala-gejala seperti ini tidak dapat dihapuskan dengan hanya bergantung kepada ketegasan undang-undang semata-mata tetapi perlu juga kesedaran agama dan akidah yang mendalam. Akidah Islam adalah berasaskan kepada ajaran tauhid. Setiap mukmin wajib menjaga akidahnya. Ia merupakan sumber kekuatan kepada pemiliknya. Dan harus disedari bahawa apa juga bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh manusia hari ini adalah berpunca daripada kerosakan akidah.

Sekian

Kiriman: Ishak Kadir - 25.03.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: