Petikan daripada HarakahDaily
    Tumbuk bekas AJK Umno, BBR desak Adun Palong letak jawatan
    Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

    KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) - Barisan Bertindak Rakyat (BBR) Felda Palong mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Palong, Aziz Shamsuddin bertindak menumbuk seorang bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Jempol, Hasan Bahari Mat Isa di Wisma Negeri pada 18 April lalu.

    Menurut Pengerusi BBR, Ahmad Faris Musa, Aziz telah menumbuk bekas AJK Umno tersebut yang juga seorang peneroka Felda Palong di dalam premis kerajaan negeri.
    BBR mendesak Aziz meletak jawatan berikutan tindakan tidak bertamadunnya terhadap bekas AJK Umno Jempol itu.

    Beliau berkata demikian ketika memberi maklumat mengenai kejadian itu yang disusuli dengan kenyataan medianya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

    "Ini tindakan yang tidak bertamadun malah tidak seharusnya berlaku di hadapan orang ramai di premis kerajaan," tegas Ahmad Faris.

    BBR difahamkan insiden menumbuk bekas AJK Umno itu berlaku akibat rasa tidak puas hati Aziz terhadap teguran individu tersebut dalam Mesyuarat Agong Umno Bahagian Jempol pada tahun 2004.

    Kata Ahmad Faris, teguran itu berkisar kepada nasihat individu terbabit berikutan kelakuan Aziz yang tidak memakai songkok ketika menziarahi satu majlis pengkebumian di Felda Palong 16 pada tahun 2004.

    Menurut Ahmad Faris, teguran itu dibuat berikutan kehendak ahli Umno yang mahu Adun Palong menunjukkan imej yang baik lebih-lebih lagi ketika berada dalam majlis seperti itu.

    Malangnya, teguran yang berlaku dalam Majlis Mesyuarat Umno Jempol itu akhirnya menjadi dendam yang berlarutan sehingga Aziz mengambil tindakan yang membelakangi undang-undang.

    "Apapun alasan atau dendam Adun Palong kepada bekas AJK Umno itu, tidak sewajarnya beliau menggunakan cara 'ala gangster' seperti itu, kerana ia amatlah memalukan apabila insiden itu berlaku di hadapan orang ramai," katanya.

    Malah katanya, insiden itu terpaksa dileraikan orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian.

    BBR difahamkan satu laporan polis telah dibuat bekas AJK Umno Bahagian Jempol itu pada hari kejadian di Balai Polis Daerah Seremban pada jam 2.16 petang.

    BBR mendesak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak yang didakwa melakukan kesalahan itu.

    BBR juga mendesak Adun Palong itu meletak jawatan kerana telah bertindak di luar batasan kemanusiaan dan undang-undang.

    "PM gah melaungkan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita', tetapi Adun Palong menunjukkan sikap yang tidak berakhlak dan bermoral," katanya.

    Harakahdaily juga sebentar tadi menerima satu laporan polis mengenai insiden tersebut melalui faksimili.

    Laporan polis itu dibuat oleh Hasan Bahri di Balai Polis Daerah Seremban bertarikh 18 April 2005 jam 2.16 petang.

    Pengadu, Hasan Bahri dalam laporan polis itu, mendakwa beliau telah ditumbuk Aziz ketika beliau menyapa Adun Palong itu di ruang menunggu Wisma Negeri sebelum bertemu Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Mohammad Hasan.

    Kiriman: Penerangan Keadilan - 21.04.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


     
    Hantar artikel ini kpd sahabat: