KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) - Lawatan kerja Ketua Pemuda Angkatan Muda KeADILan Malaysia, Ezam Mohd Noor ke Negeri Sembilan dijangka akan mencetuskan api gerakan reformasi di negeri adat pepatih itu.
Naib Ketua Angkatan Muda KeADILan Negeri Sembilan, Haron Mohammad Noh, berkata Angkatan Muda KeADILan telah menyusun jadual lawatan kerja Ezam untuk turun menemui pemimpin dan organisasi Angkatan Muda di semua peringkat.
Kata Haron, lawatan itu juga bertujuan untuk merealisasikan dan menterjemahkan ucapan dasar kongres Angkatan Muda yang pertama iaitu "Melawan Rasuah: Agenda perjuangan generasi kita" yang dibentangkan beberapa bulan lalu.
Beliau berkata demikian pagi tadi ketika memberi kenyataan berhubung lawatan kerja Ezam yang dijadualkan bermula 25 Februari ini di Negeri Sembilan.
Menurut Haron, lawatan kerja itu dijadualkan bermula pada 25 Februari 2005, di mana Ezam Md Nor akan mengetuai Exco Angkatan Muda Malaysia untuk mengadakan lawatan kerja ke Negeri Sembilan.
Katanya,lawatan kerja tersebut akan dimulakan dengan program Dialog Angkatan Muda Malaysia bersama penduduk Felda Sendayan sekitar jam 11.00 pagi.
Kata Haron, dialog itu diadakan bersama peneroka Felda Sendayan berikutan penduduk di sana mengalami masalah dengan status tanah mereka selama hampir 11 tahun.
Masalah penduduk ini diparahkan dengan
ancaman kesihatan akibat pencemaran kilang pemprosesan sisa toksik yang
terletak kira–kira 2 kilometer dari
penempatan mereka.
Selain itu penduduk juga menghadapi masalah lombong pasir yang diluluskan secara 'istimewa' yang semakin banyak di Felda Sendayan.
Kata Haron, Ezam dan beberapa Exco Angkatan Muda KeADIlan akan cuba menyelami dan menyelesaikan masalah tersebut termasuk membawanya sebagai agenda badan tersebut.
Selain itu dalam jadual kerja lawatan tersebut, Ezam juga akan menghadiri jamuan makan dan ramah mesra bersama pemimpin Barisan Alternatif (BA) Negeri Sembilan di Port Dickson selepas solat Jumaat.
Sementara, pada jam 5.00 petang Ezam akan menghadiri satu sesi dialog dan pertemuan mesra “Hala Tuju Anak Muda Malaysia” yang dijangka akan dihadiri sekumpulan 100 pemuda profesional anak jati Negeri Sembilan.
Pertemuan yang bakal diadakan di salah sebuah hotel di Negeri Sembilan itu bertujuan untuk memberi ruang golongan profesional muda dari negeri tersebut untuk bertukar–tukar pendapat dengan Angkatan Muda KeADILan.
Tambahnya, pertemuan itu juga bertujuan
mencungkil mengenai peranan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab Angkatan
Muda KeADILan ke arah kerajaan
reformasi.
Selepas pertemuan itu Ezam dijadualkan akan menghadiri satu sidang media di tempat yang sama.
Sesi tersebut diadakan secara tertutup dan berdasarkan jemputan tertentu.
Justeru kata Haron, kepada anak Negeri Sembilan yang berminat bolehlah menghubungi Sekretariat program di talian (013-6034499 Haron), (016 3242564-Badrul Hisham) (016-2862481-Arifin).
Selain itu pada jam 7.00 petang pula rombongan akan terus bertolak ke Kuala Pilah untuk majlis ramah mesra bersama rakyat di Kuala Pilah. Rombongan akan bersolat Maghrib berjemaah di Masjid Pekan Kuala Pilah.
Lawatan kerja itu akan berakhir dengan program pertemuan tertutup bersama Angkatan Muda Negeri Sembilan dan Perhubungan keADILan Negeri Sembilan.
Pertemuan ini dilihat penting kerana
ia bertujuan mengatur gerakan secara terancang reformasi pasca pembebasan
Dato'Seri Anwar Ibrahim dan selepas Kongres
Pertama Parti Keadilan Rakyat` (keADILan).
- mks.
Kiriman: Penerangan Keadilan - 21.02.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)