Nik Aziz: Di mana Annuar Musa ketika rakyat ditenggelami banjir?
    Ketika sidang DUN Kelantan, Annuar Musa cukup lantang. Tetapi, di mana beliau ketika rakyat memerlukan bantuan menghadapi banjir besar di Kelantan baru-baru ini, tanya Mursyidul AM PAS, TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ dalam tulisannya ini.


    - Dipetik drp HarakahDaily
    Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat

    SIARAN langsung persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang dapat diikuti melalui internet sepanjang empat hari iaitu antara 5 Disember hingga 9 Disember 2004 adalah satu lagi pencapaian cemerlang PAS.

    “Kelantan Boleh!” Jika di peringkat persidangan Dewan Rakyat orang ramai sering disogok dengan seribu satu macam alasan berdolak dalik enggan membuat liputan siaran langsung dari Kuala Lumpur, kini bagaimana?

    Sekali lagi terbukti yang kerajaan Kelantan berkemampuan, lebih demokratik dan berstrategik. Seluruh dunia boleh mengikuti perdebatan dan mengukur tahap kebolehan pihak kerajaan dalam menjawab pelbagai tohmahan 21 pembangkang dari wakil rakyat Umno. Dari sini, sekali lagi rakyat dapat melihat Umno yang ketinggalan.

    Apa yang lebih menarik ialah setiap wakil Exco memulakan ucapan penggulungan dengan petikan ayat-ayat al Quran atau Hadis sesuai dengan portfolio masing-masing. Ini membuktikan yang Islam itu syumul.

    Setiap persoalan manusia dari segenap sektor kehidupan ada panduan bersumberkan al Quran. Ini mengesahkan lagi kesungguhan kerajaan yang benar-benar mahu “Membangun Bersama Islam”.

    Tidak satupun isu yang dibangkitkan tidak berjawab. Ia disimpul mati melalui pelbagai hujah dan bukti yang menunjukkan Kelantan sedang membangun roh dan jasad. Pasukan kerajaan negeri yang kami turunkan dalam pusingan kali ini saya kira cukup mantap.

    Dalam keadaan saya yang sangat berpuashati dengan prestasi kerajaan negeri, tahulah saya motif gesaan ketua pembangkang yang meminta saya “berehat”. Ini tidak lain kerana Umno sudah nampak kesukaran yang besar untuk menggugat kerajaan negeri selagi saya masih ada.

    Itu yang timbul saya dikatakan kononnya telah pernah mati atau telah meletakkan jawatan. Alhamdulillah, saya masih seperti ini.

    Saya tidak latah dan mudah melompat walaupun ketua pembangkang itu cuba mengacah saya supaya berehat (Utusan Malysia, 12 Disember 2004).

    Setakat ini, saya tidak nampak alasan yang manasabah untuk saya berehat. Walaupun saya dikatakan tidak tahan dikritik tetapi pada pemerhatian saya, orang yang menuduh saya, yang saya kira pantang menerima kritikan sebenarnya.

    Ini yang selalu saya perhatikan. Misalnya, dalam isu menabalkan Sultan Kelantan yang baru, beliau cukup kuat melenting dan kelihatan melontar kata-kata yang amat kesat kepada YB Nasarudin Daud (ADUN Meranti) berbunyi, “awak bahlul”.

    Begitu juga dengan kisah-kisah pembelaan nasib fakir miskin. Jika tidak kena dengan anginnya, beliau boleh menjerit dengan perkataan-perkataan hina seperti “bodoh”, “keling”, “ayam kampung”, “tak ada standard” dan “tak cukup mengaji”.

    Beliau cukup gemar memperkecil dan mengherdik orang lain. Setelah cukup puas mengaibkan orang, mulalah beliau menepuk dada dengan mendakwa diri sendiri sebagai “ahli politik yang seasoned”. Semua ini boleh disemak dalam cakera padat (VCD) yang ada dijual atau “hansard” dewan.

    Dari segi ilmu tasauf, inilah yang disebut ulama sebagai penyakit-penyakit hati. Sombong, sum’ah, ujub, ria’dan takabur. Diri sendiri tiada cela sedikit pun.. Yang cela, hina dan kekurangan adalah orang lain.

    Orang lain halal diremeh dan diperkecilkan. Pantang ditegur, ketua pembangkang dari Adun Umno ini terus bangun untuk “mengaum” biar sekali pun ketandusan hujah yang waras.

    Dari segi psaikologi, seorang yang rendah akan gemar memakai songkok tinggi dan selipar tebal. Bagaimanapun, kita tidak hairan dengan harimau yang mengaum kerana mengikut pepatah Melayu, “harimau mengaum tidak menangkap".

    Jika kita rajin menyemak kisah-kisah di dalam al Quran, perangai keji yang seumpama ini tidak ada pada Nabi Muhammad saw, Nabi Ibrahim atau Nabi Musa tetapi amat nyata menjadi amalan musuh-musuhnya.

    Walaupun Islam memberi ruang berhujah dan berbeza pandangan tetapi harus diperhatikan yang hujah balas kita hendaklah berpaksikan peraturan Allah. Dalam pada itu pun, akhlak menempelak perlu dijaga. Membodoh-bodoh dan membahlulkan pejuang Islam sudah tentu bukan caranya.

    Dalam suasana banjir di Kelantan yang dikatakan terburuk sejak lebih 20 tahun, saya terkejut apabila diberitahu bahawa ketua pembangkang yang kononnya sangat lantang menyuarakan mesej rakyat dalam sidang dewan yang lalu kini sedang berehat di luar negara.

    Kehadiran Timbalan Perdana Menteri di Bilik Gerakan Negeri pada 14 Disember lalu disambut oleh saya dan anggota Exco kerajaan negeri termasuk Dato’ Mustapa Mohamed tanpa Yang Berhormat berkenaan.

    Saya yang disuruh rehat tidak rehat pun, manakala dia pula sedang berehat di luar negara dalam keadaan negeri hampir tenggelam. Jika beliau dikritik dalam persidangan dewan yang akan datang, bersedialah orang ramai untuk menyaksikan telatah lakonannya.

    Pendek kata, fahamlah saya apabila “orang kuat Umno ini” beria-ia sangat mahu “merehatkan” saya. Dengan kesungguhan mereka, tahulah saya bahawa kepemimpinan saya telah berjaya menyusahkan Umno.

    Bagi PAS, ini petanda sebuah kejayaan. Jika begitulah keadaannya, maka tidak jadi lagilah nampaknya saya untuk merehatkan diri. Saya akan hanya mula berehat apabila Umno berhenti mengganggu gerakan Islam. Lambat lagilah nampaknya. - mj/zs
     

  • http://harakahdaily.net/article.php?sid=11031&mode=thread&order=0
    Tun Paduka Tuan: Banjir – Ke Mana Ghaibnya Annuar Musa?

    - 16.12.2004 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


    Hantar artikel ini kpd sahabat: