Bila pulak saya letak jawatan?
Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
Biasanya, pagi adalah satu ketika yang sangat hening. Ia sangat tenang dan sangat mewaraskan minda sesiapa. Ini lebih lebih lagi benar kepada saya yang kini betul-betul sedang berada di hadapan Baitullah. Rumah Allah yang melambangkan segala kekuasaan Allah dan sangat berada dihadapan saya ketika setiausaha saya membisikkan kepada saya berita nakal dari tanah air ini telah dengan tidak semena mena terlibat dengan saksi akan tulisan ini.
Setelah menelitinya, rupanya sahlah berita itu cukup nakal. Ia cuba memancing kemungkinan seolah-olah saya ‘akan’ atau ‘dijangka’ atau ‘telah’ meletakkan jawatan dalam pelbagai andaian yang tidak sepatut sesiapa jua yang waras bermain-main di sekitarnya.
Masih berbekalkan kewarasan, saya berpakat dengan setiausaha saya untuk memberi respon kepada permainan media ini .Saya lalu bingkas dan kini setelah membuka langkah, saya secara rasmi dengan ini ingin membuat sedikit pendirian .
"Nik Abd. Aziz letak jawatan?" (Utusan Malaysia,24 November 2004).
Saya tak pasti ini berita atau maklumat atau lontaran khianat oleh wartawan. Wartawan berseorangankah atau bergerak atas arahan? Jika arahan, siapa yang mengarahkan? Wajarkah wartawan memungut arahan di kaki lima semata-mata untuk memancing sensasi bagi melariskan jualan di atas berita yang bukan berita.
Jika berita yang dimulakan dengan perkataan perkataan seperti ‘dijangka’ , ‘dikatakan’ atau ‘dipercayai’ dengan mengambil punca dari sumber yang tidak dinamakan boleh diistilahkan sebagai berita, maka saya tak tahulah. Bagaimana boleh fitnah yang sehina itu layak diletakkan dimuka hadapan?
Jika diperhatikan, sangat jelas bahawa berita dari Utusan itu tidak mampu untuk menjawab persoalan asas yang menjadi nadi urus niaga apa-apa berita yakni ‘siapa yang berkata’. Jika saya yang berkata, maka di mana tempatnya dan bila masanya? Kenapa dan bagaimana saya boleh berkata demikian? Ini soalan yang saya cukup yakin bahawa dua orang wartawan yang bertanggung jawab ke atas berita itu tidak mampu untuk menjawab kerana saya memang tidak pernah membuat pendirian yang sedemikian di mana-mana tempat, masa dan ketika.
Berita sampah
Saya ingat, berita-berita yang bernilai “sampah“ sebegini telah terlalu lama menyumbat dan merosakkan minda pembaca. Khalayak seakan akan diheret untuk bermain spekulasi di layar “wayang kulit Umno” yang sangat berbayang.
Jika wartawan dan pihak pihak yang berada di belakang wartawan nampaknya tidak berfikir panjang pun untuk mengganggu ketenteraman awam penduduk Malaysia, malahan tergamak memunculkan berita ini maka salah sangatkah jika takdirnya saya mengambil tindakan mahkamah? Jika Umno mempunyai pasukan undang undang, PAS juga turut menpunyai pakar pakarnya. Saya kira, tidak sukar untuk menjerat kijang yang sudah melompat kerana yang menunggunya di bawah adalah selingkar jerat yang akan menyentap kakinya pada bila-bila masa.
Kesihatan terbaik
Saya kadang-kadang cukup hairan, bagaimana saya senang-senang boleh dijangka akan meletak jawatan, malah telah menyerahkan surat perletakan jawatan. Jika benarlah, yang saya telah menghantar nota perletakan saya, maka "Nik Abdul Aziz serah kepada Nik Abdul Aziz?" Atau "Nik Abdul Aziz serah pada Abdullah Ahmad Badawi?"
Jika faktor kesihatanlah yang diragui oleh sesetengah kelompok Umno, maka sukacita saya membuat penegasan bahawa belum pernah lagi saya berada ditahap kesihatan yang sebegini baik seperti yang saya sedang nikmati di Makkah Al Mukarramah terkini selepas saya menjalani rawatan jantung di IJN kira kira 4 bulan lalu. Malah, jika diikutkan rekod semalam (23 November), alhamdulillah, saya diizinkan oleh Allah SWT meyempurnakan tawaf, saie dan terus bertahallul dalam tempoh 2 jam secara sekaligus. Kini, saya sedang berdandan kerana bertahallul dalam fesyen ikatan serban terbaru. Dalam tahap kesihatan yang sebaik ini, munasabah kah saya diacah dengan pelbagai cadangan perletakan jawatan?
Politik rasuah mahu menular ke Kelantan
Saya tahulah yang Umno sedang berada dalam satu keadaan yang sangat tertekan untuk menjadi Menteri Besar. Saya juga tahu bahawa pemimpin Umno Kelantan sedang giat merancang untuk menggunakan wang bagi menjerat dua tiga Exco atau Adun dari PAS. Jika diikutkan stail penulisan wartawan Utusan Malaysia dalam isu ini, saya juga boleh mengatakan bahawa saya ada diberi maklum bahawa Umno telah memperuntukkan wang sogokan tidak kurang dari RM20 juta untuk membeli “orang orang saya". (Itupun, jika saya mahu berkata demikian).
Walaupun saya mengkategorikan berita jenis ini sebagai “tidak penting” kerana saya arif memahami hati budi 'orang orang saya' melebihi dari pengetahuan Pengerusi Perhubungan Umno yang baru, akan tetapi, saya tidak boleh menolak kemungkinan amalan politik wang yang akan dilibatkan di Kelantan. Kalau sesama Umno pun mereka sanggup menabur rasuah dalam Perhimpunan Agong mereka yang lalu, maka mustahil sangatkah jika kaedah yang sama akan turut diguna pakai bagi mensabotaj sebuah kerajaan yang menjadi seteru tradisi mereka di Kelantan sejak dahulu kala?
Di peringkat ini, terfikirkan betapa hinanya amalan memancing sokongan melalui sogokan wang, entahkan bagaimana saya seakan-akan terbayangkan rupa Abu Jahal dan Abu Lahab yang terbongkok bongkok cuba menyogok sesuatu kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad saw. Wang. Pangkat. Layanan perubatan serta perempuan.
Apa yang cuba dilakukan oleh Umno Kelantan sesungguhnya bukan perkara baru. Ia cuma meniru apa yang pernah dibuat oleh makhluk-makhluk perosak yang sesentimen dengan mereka di zaman Arab jahiliyyah kira-kira 1425 tahun yang lalu. Itu saja. Di sini, tiada apa yang berbeza, terlebih atau teristimewa!
Saya cukup hairan dengan gelagat pemimpin Umno. Dalam keadaan saya masih hidup-hidup menjadi Menteri Besar ini pun, mereka sudah sibuk dan tidak sabar-sabar lagi ingin menentukan ghanimah dan membahagi-bahagikan harta pesaka. Itu dalam keadaan mereka kalah. Jika mereka menang (na a’uzubillah), tak tahulah.
Saya tidak nampak lain-lain kemungkinan dalam membaca sikap tamak Umno ini selain daripada membayangkan betapa bankrap dan hinanya nafsu mereka. Mereka sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memerintah. Jika Kelantan ini diibaratkan seorang gadis sunti, maka Umno sanggup 'mengecat' rambutnya untuk membuktikan bahawa dia masih berkudrat. Bagi si gadis, sudah tentu ia dapat membezakan antara kerajaan yang kuat dan telah dibuktikan kekuatan melalui kemenangan yang kini menjadi suami kesayangannya. Kini, gadis itu semakin kenal dengan orang tua ‘berhidung tinggi’ yang sedang bersiul bertakabur di bawah pokok dedap. Masa saya sakit, mereka jugalah yang sibuk-sibuk mendoakan saya agar kembali sembuh dan terus memimpin Kelantan. Sekarang, saya sudah sihat, lagu mana pula? “Hok mana so!”
Ingatlah bahawa Amerika menjadi makhluk yang hina sebaik-baik saja berbohong dengan dunia bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnah nuklear. Lantaran itu, Saddam perlu menerima hukuman. Bagaimana pun, setelah pembohongannya ini terdedah maka aib negara Kuasa Besar itu cukup memalukan. Saya kira, Umno pun akan turut dimalukan melalui berita yang cuba memfitnahkan saya ini. Ini kerja-kerja hina yang hampir sama.
Saya sebenarnya kurang mengenali Dato' Annuar Musa tetapi saya ada diberitahu bahawa rakyat Kelantan sangat arif mengenai selok-belok dan denai laluan kegemarannya. Malah, perihal kemasyhuran beliau kadang-kadang boleh sampai sejauh Sabah dan Serawak. Di ketika ini, saya menjadi teringat kepada sepotong pepatah Inggeris yang berbunyi "it takes a thief to catch a thief." Mungkin, masa jualah yang akan menentukan segala-galanya.
"Dan tiap-tiap manusia itu telah kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka. Bacalah kitab mu, cukuplah diri mu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadap mu". ( Maksud surah Al Isra’ ayat 13 - 14 )Membaca dan memahami ayat-ayat sebegini sering membawa saya menjadi insaf dan hiba. Dalam suasana berhadapan dengan Kaabah yang semakin tinggi disuluh mentari saya seterusnya terkenangkan nasib masa depan saya serta nasib saudara-saudara saya di negeri Kelantan seluruhnya . "Ya Allah! Permudahkanlah, Janganlah dipersukarkan"Wallahua’lam.
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar, Kelantan.
Makkah Al Mukarramahhttp://harakahdaily.net/article.php?sid=10693
- 25.11.2004 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)