Jangan Kambinghitamkan Arwah Nurin   -Laman M@RHAEN
Oleh Hidayat Saifudin (nahdah.wordpress.com)


Saya banyak mendengar berita berkenaan bahawa kononnya Perhimpunan 100,000 ribu rakyat anjuran Bersih tidak mendapat permit dan sesiapa yang menyertainya akan diambil tindakan.

Ini antara yang disiarkan di siaran berita dalam dua hari lepas, memetik kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Saya bersikap jelas dalam hal ini. Saya percaya, penganjur perlu bertanggungjawab mengemukakan permit, dan saya juga masih punya rasa percaya atas kredibiliti dan profesionalisme PDRM untuk meluluskan permit perhimpunan aman ini atas nama kebebasan berhimpun dan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Cuma sesuatu yang mencuit hati saya pagi ini apabila membaca Harian Metro hari ini, berkenaan satu insiden di Seksyen 1 Wangsa Maju. Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun hampir menjadi 'Nurin kedua' apabila suspek jenayah sama sekali lagi muncul dan cuba menculik seorang kanak-kanak tersebut di lokasi sama Nurin dilaporkan ghaib, Ogos lalu.

Tambah mengejutkan, suspek dikesan melarikan diri dengan menaiki van putih, iaitu kenderaan model sama yang didakwa pernah digunakan untuk menculik Nurin Jazlin pada malam 20 Ogos lalu.

Sehingga ke insiden tersebut berlaku, suspek Nurin masih boleh menghirup udara segar tanpa perlu terganggu dengan sebarang usaha tangkapan. Lebih dasyat, suspek masih mampu berusaha melakukan satu lagi percubaan culik kanak-kanak lain!

Apa hubung kait kes Nurin dengan perhimpunan Bersih?

Dalam kepala saya, saya begitu pasti perhimpunan Bersih nanti bakal menyaksikan ribuan anggota polis dan FRU untuk mengawal keadaan sekitar Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka. Tak pasti berapa banyak watercannon akan disediakan, tetapi saya lihat, sejak Anwar Ibrahim mengesahkan kehadiran beliau dalam perhimpunan tersebut, sudah ada persediaan untuk mengawal perhimpunan tersebut.

Kalau untuk aktiviti seperti ini, ribuan polis boleh dikerah untuk menyekat dan mengekang sebarang kebarangkalian yang mungkin berlaku dalam perhimpunan tersebut, kenapa ribuan polis tidak boleh dikerah untuk menangkap suspek pembunuh Nurin?

Pendedahan ayah Nurin, Jazimin Abdul Jalil bahawa beliau menerima banyak SMS dan panggilan menyatakan kekesalan masyarakat ke atas kelambatan siasatan polis di dalam Harakahdaily adalah satu perkara yang tidak boleh diambil ringan.

"Hingga ke hari ini saya masih menerima banyak SMS daripada orang ramai termasuk dari Singapura, Sabah dan Sarawak yang mahu polis segera tangkap penjenayah itu… malah ada yang syorkan saya siasat sendiri.

"Saya tak mampu buat apa-apa selain menunggu hasil siasatan polis. Apa daya saya nak cari pembunuh tu? Saya tak kenal dia, lagipun dunia ni bukannya kecil," kata Jazimin Abd Jalil ketika ditemui Bernama di rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini hari ini.

Beliau berkata harapannya untuk melihat penjenayah terbabit segera di bawa ke muka pengadilan lebih tinggi daripada harapan orang ramai yang mahu perkara sama berlaku.
"Saya tak mahu perkara ni terjadi pada orang lain. Selagi dia (pembunuh) terlepas bebas, selagi itulah hidup kami rasa tak selamat," katanya.
Telahan Jazimin hampir menjadi kenyataan dengan percubaan menculik kanak-kanak lelaki itu di tempat yang sama, semalam.

Tidakkah itu biadap, sudahlah cuba menculik di tempat yang sama, menggunakan kaedah yang sama, kenderaan yang sama! betul-betul mencabar kesabaran rakyat.

Dan dalam keadaan kawasan tersebut, hanya sepelaung saja jaraknya dengan Balai Polis Wangsa Maju, apakah ini perlu dibiarkan sehingga ada lagi nyawa yang terkorban?

Apakah kita hendak menunggu nyawa anak-anak elit politik melayang dengan modus operandi yang sama, maka barulah penjenayah akan terus diberkas dalam tempoh 24 jam?

Justeru, saya memohon dengan penuh tawadhuk, sekiranya pihak berkuasa ingin memantau perhimpunan anjuran Bersih 10 November nanti, saya kira, kerahlah ribuan anggota polis Kuala Lumpur untuk menjejaki suspek pembunuhan Nurin terlebih dahulu.

Nyawa seorang anak seperti Nurin lebih berharga untuk dijaga daripada dibiarkan terbunuh kejam berjumpa Ilahi,berbanding mengawal ratusan ribu yang hanya berhimpun menyatakan pendirian mereka secara aman tanpa sebarang keganasan dan provokasi.

Al Fatihah buat allahyarham Nurin.
 

- Hidayat Saifudin

http://nahdah.wordpress.com/2007/10/30/jangan-kambinghitamkan-arwah-nurin/

30.10.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.


Hantar artikel ini kpd sahabat:
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.