Laporan Majlis Memperingati Allahyarham Abd Razak Ahmad
Oleh Hassan Karim  - Laman M@RHAEN


Saudara-saudari yang dihormati.

Sukacita dimaklumkan Majlis Memperingati Allahyarham Abd Razak Ahmad anjuran Gabungan Sahabat telah berjaya diadakan pada hari Ahad lalu 26-08-2007 bertempat di Dewan Perdana II, Tingkat 9, Hotel Selesa, Jalan Dato’ Abdullah Tahir, Johor Bahru.

Majlis itu bermula jam 3.00 petang dan berakhir kira-kira 2 jam kemudiannya. Seramai lebih 150 orang ahli keluarga dan sahabat Allahyarham Abd Razak Ahmad telah hadir.

Turut hadir ialah isteri Allahyarham iaitu Puan Hajjah Kintan Binti Hj Mohd Amin.

Pelbagai golongan telah hadir dan wakil mereka menyampaikan ucapan. Antaranya Puan Navamani Arumugam dan Hassan Ibrahim mewakili golongan peguam yang rapat dengan Allahyarham Abd Razak Ahmad.

Wakil bekas penduduk-penduduk setinggan Tasek Utara, Giman Maskandar dalam ucapannya menceritakan tentang peranan Abd Razak Ahmad membela nasib penduduk-penduduk miskin setinggan Tasek Utara pada tahun 1974 sehingga Abd Razak sendiri  akhirnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Abd Rahman Bahrom pula yang mewakili peneroka Felda Ulu Tebrau di Ulu Tiram, Johor menceritakan tentang jasa Allahyarham Abd Razak Ahmad membantu peneroka-peneroka Felda Ulu Tebrau dalam soal mendapatkan hak milik tanah mereka.

Sejarah hidup Allahyarham Abd Rzak Ahmad sejak kecil hinggalah meninggal dunia dan perjuangannya dalam politik telah disampaikan oleh Hassan Karim, iaitu Pengerusi Gabungan Sahabat secara lisan dan juga dibantu oleh tayangan gambar di layar besar. [Sebagai catatan: Abd Razak Ahmad adalah peguambela kepada Hassan Karim apabila Hassan ditangkap dan dipenjara pada September 1974 kerana mengetuai perarakan membantah perobohan paksa rumah-rumah setinggan Tasek Utara. 29 tahun kemudiannya, Abd Razak sekali lagi menolong Hassan apabila Abd Razak menjadi pencadang kepada  Hassan Karim supaya diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya di Johor Bahru. Abd Razak telah membacakan di hadapan Hakim sejarah Hassan dari kecil hingga dewasa. Kini, dalam Majlis pada hari Ahad lalu giliran Hassan Karim pula membacakan sejarah hidup Abd Razak Ahmad.]

Dato’ Hj Othman Bin Hj Sapian, Wakil Rakyat Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Kawasan Kempas turut hadir dan menyampaikan ucapan.

Yang Berhormat Dato’ Hj Othman Bin Hj Sapian adalah sahabat Allahyarham walaupun mereka berbeza aliran politik. Dalam ucapannya, Ahli DUN Kempas itu telah menyampaikan ucapan takziah kepada Puan Hajjah Kintan Binti Hj Mohd Amin, isteri Allahyarham Abd Razak Ahmad dan keluarga bagi pihak Menteri Besar Johor, Dato’ Hj Abd Ghani Othman merangkap Ketua Perhubungan UMNO Johor dan Pengerusi BN Johor.

Wakil dari Parti PAS, Syed Othman pula di dalam ucapannya telah menyampaikan ucapan takziah kepada Puan Hajjah Kintan dan seluruh keluarga Allahyarham Abd Razak Ahmad bagi pihak Presiden PAS, Dato’ Abdul Hadi Awang dan juga YAB Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan serta Dr Hj Mahfudz, Pesuruhjaya PAS Johor.

Manakala wakil DAP Johor, peguam Norman Fernandez dalam ucapannya menyebut bagaimana Allahyarham Abd Razak Ahmad dalam hidupnya telah berkorban untuk kepentingan umum.
Norman Fernandez telah menyebut secara khusus satu contoh bagaimana Abd Razak Ahmad telah menyaman Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Kerajaan Johor dalam isu Projek Mega Kota Terapung di Selat Tebrau.

Abd Razak Ahmad telah membantah Projek Kota Terapung tersebut yang dianggapnya membazir dan mencemarkan alam sekitar. Abd Razak telah kalah dalam kes itu di Mahkamah dan terpaksa membayar kos, kata Saudara Norman. Lanjutan dari peristiwa itu, Norman Fernandez telah menulis satu sajak untuk Abd Razak Ahmad dan sajak itu dibacanya dalam Majlis Memperingati Allahyarham.
Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim dan rombongan PSM dari Kuala Lumpur telah hadir beramai-ramai dalam Majlis Memperingati Allahyarham Abd Razak Ahmad. Dr Nasir telah tampil ke pentas apabila diminta berucap dan beliau telah mengenang perjuangan serta pengorbanan Abd Razak dalam sajak panjangnya yang khusus ditulis oleh Dr Nasir sebagai penghormatan kepada Allahyarham Abd Razak Ahmad.

S.K. Song, sahabat Abd Razak Ahmad sejak mereka sama-sama bersekolah menengah di English College, Johor Bahru dan kemudiannya sama-sama bergerak dalam politik di Johor telah berucap sebagai wakil PRM dalam Majlis itu.

S.K. Song mengenang kembali bagaimana antara dia dan Abd Razak Ahmad sering mengalami nasib yang sama termasuk menjadi tahanan ISA.

S.K. Song menyatakan Abd Razak Ahmad adalah pemimpin politik dan masyarakat yang berpegang teguh kepada prinsip keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, keturunan dan agama dan kerana itu Abd Razak Ahmad disayangi semua orang.

Setiausaha Gabungan Sahabat, Saudara Mohd Salleh Hj Ahmad telah menjadi pengacara sepanjang Majlis itu.

Sebelum Majlis berakhir, Gabungan Sahabat melalui wakilnya Hj Rauf Bin Mohamad telah menghadiahkan 50 naskah Surah Yassin kepada anak sulung Allahyarham, Zulkifli Bin Abd Razak sebagai tanda ingatan.

Majlis Memperingati Allahyarham Abd Razak Ahmad yang dimulakan dengan Surah Al-Fatihah telah diakhiri juga dengan doa yang dibacakan oleh Abd Rahman Bahrom.

Hajjah Kintan dalam ucapannya sebagai orang terakhir berucap pada Majlis itu mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat Allahyarham suaminya yang hadir pada Majlis itu.

Hajjah Kintan dalam ucapannya yang ringkas dan dalam suara yang sebak menyatakan bahawa Abd Razak Ahmad adalah seorang suami yang baik, seorang manusia yang berhemah tinggi dan seorang pemimpin yang sentiasa memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.

Hassan Ibrahim (bekas Timbalan Pendakwa Raya uang kemudiannya menjadi peguam) diakhir perutusannya secara bertulis menyatakan beliau sangat menghargai kesetiaan kawan-kawan Allahyarham Abd Razak dan beliau berharap Allahyarham Abd Razak Ahmad tenang di Alam Barzakh dan tergolong di kalangan ahli syurga.

Demikianlah juga doa kita semuanya.

Al-Fatihah. Amin.
 

- Hassan Karim

31.08.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.


Hantar artikel ini kpd sahabat:
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.