Lenggang Kangkong
Oleh Dr Nologareng (Laman M@RHAEN)
Pada hari ini, maka telah genaplah seminggu Datin Sri Endon Mahmood kembali ke Rahmatullah, atas kehendak Allah, dek penyakit yang amat ditakuti wanita seluruh dunia- barah payu dara (breast carcinoma). Ada kalangan pengkaji yang mengatakan ia berpunca daripada gaya hidup yang mencondongi Barat dari segi diet pemakanan yang mengutamakan daging dan meninggalkan sayur-sayuran. Malah ada yang secara khusus mengatakan susu dan produk daripadanya adalah punca kepada terjadinya barah tersebut dengan pelbagai alasan yang saintifik. Mereka membandingkan secara dermografi akan taburan penyakit itu di kalangan penduduk Tanah Besar China, Hong Kong dan Negara Barat. Daripada kadar penyakit barah berkenaan yang rendah di kalangan penduduk biasa China, ia melonjak di Hong Kong sehingga hampir menyamai rakan mereka di Barat.

Setakat ini jika ianya dikesan pada peringkat awal maka kebarangkalian sembuh adalah baik dengan pembedahan membuang payu dara terbabit di samping rawatan susulannya. Malangnya seringkali wanita menyedari ketika ia sudah pun merebak ke tisu berhampiran atau pun ke seluruh tubuhnya. Kepada golongan wanita digalakkan membuat pemeriksaan sendiri payu dara dan berjumpa dengan doktor tatkala ada benjolan yang dikesan. Janganlah ghairah dengan rawatan tradisional yang sentiasa sahaja mengatakan mereka boleh menyembuhkan barah, sedangkan apa yang dirawat mereka hanyalah bisul atau ketulan lendir sahaja.

Kita pasti Allahyarhamah DS Endon tentu telah mendapat rawatan yang terkini yang boleh dibeli dengan wang (beberapa kali ke AS). Namun selain daripada takdir, saya kira Allahyarhamah agak terlambat mengesani penyakit tersebut. Faktor genetik juga memainkan peranan kerana kembar beliau Noraini sudah pun kembali ke Rahmatullah kira-kira dua tahun lalu akibat penyakit yang sama. Perhatikan bagaimana isteri mantan Presiden AS Ronald Reagen- Nancy Reagen selamat dan sembuh sehingga kini kerana penyakit beliau telah dikesan pada peringkat awal dengan pemeriksaan ‘mammogram’.

Sebagai makhluk kita sepatutnya menginsafi akan pemergian DS Endon sambil mengesahkan betapa benar janji Allah- setiap yang hidup pasti akan menemui ajal mautnya cuma cara sahaja yang berbeza. Hanya Allah jua yang kekal dan gah selama-lamanya.

Kita mengucapkan takziah kepada PM PakLah dan seluruh ahli keluarganya dari yang miskin sehingga yang sekaya-kayanya.

Kelmarin PakLah kembali menyambung tugasnya dan hadir ke Dewan Parlimen menggulung perbahasan sambil mengucapkan terima kasih atas simpati dan sokongan semangat rakan Parlimen dan juga rakyat Malaysia seluruhnya yang tidak henti-henti berdoa dan mengadakan tahlil buat Allahyarham isterinya yang tercinta- ibu kepada Kamaluddin ‘Scomi’ dan mertua kepada pakar komisyen di ECM Libra Khairy Jamaludin yang khabarnya kantung peribadi mengembung dengan penjualan aset strategik negara kepada Singapura.

PakLah tampil dari cuti berkabungnya dengan janji mulus untuk meringankan beban mangsa penyakit barah yang diketahuinya memerlukan perbelanjaan yang amat tinggi dalam kos rawatannya. Selama ini mungkin PakLah tak tahu atau buat-buat tak tahu akan masalah itu. Jika kita mahu mengatakan secara umum, banyak penyakit lain yang memerlukan belanja yang amat tinggi sehinggakan mangsa terpaksa menjadi ‘selebriti’ memohon bantuan di media cetak dan kaca TV. Ada antaranya yang tersiar dalam siri ‘Bersamamu’ TV3.

Ada pun fe’el pemimpin seperti ini bukanlah suatu yang baru. Ia sudah pun berakar umbi dalam politik negara. Apabila terkena batang hidung sendiri barulah mereka tersedar dan kembali ke alam realiti kehidupan rakyat marhaen. Barulah mereka tahu bagaimana susah dan payahnya golongan marhaen yang terpaksa bertungkus-lumus menjalani kehidupan atau ketika dilanda malang. Saya pernah menyentuh tentang Dato’ Farid Ariffin yang semasa menjadi Timbalan Menteri Kesihatan, beliau seolah-olah lena dalam kemasyhuran dan jawatan. Hanya setelah anaknya mengidap penyakit leukaemia dan beliau tidak aktif dalam pentadbiran negara, barulah beliau menjaguhi dunia NGO dengan penubuhan Majlis Kanser Negara (MAKNA). Maka berbagai-bagailah program kutipan tabung dan sebagainya diadakan. Malah sempat pula satu ketika ia menegur dan mencemuh Kementerian Kesihatan yang merupakan tempat ia berkuasa dahulu! Alahai..

Begitu juga dengan kisah MB Kedah, Pak Tuan Syed Razak yang kelihatan agak ‘kurang cerdik’ apabila mendakwa di dada akhbar betapa ia sudah sihat 100% sekembali dari Jerman. Apa kebende sihat 100% kalau tangan kiri masih tergantung lemah di bahu separuh mati? Bagaimana mungkin anda mendakwa sudah sihat seperti sedia kala apabila hanya tangan kanan yang galak diutau ke sana ke mari dengan tangan kiri berdiam diri?

Lebih mensasaukan apabila Pak Syed mula menjaja satu ide baru- untuk mengadakan pusat pemulihan fizikal ala ‘medico tourism’ bagi pesakit seangkatannya dan juga untuk menghilangkan ketegangan. Khabarnya Gunung Jerai dipilih untuk tapak projek tersebut dengan Pakar Neurologi Hospital Island dan seorang usahawan keturunan Cina dijaja dalam dada akhbar untuk menyokong ide Pak Syed!

Berbaloikah nanti ide yang ditimbulkan oleh pesakit seperti beliau? Tidakkah nanti beliau hanya akan menambah deretan senarai projek gagal Menteri Besar Kedah? Sekali gus menambah hutang negeri DYMM Sultan Abdul Halim. Tidak cukupkah dengan kegagalan Muzium Padi, Safari Park Kuala Nerang, Kompleks Penyembelihan Desa Pahlawan, Projek padi atas bumbung, kolam udang Kerpan, chalet di Pulau Payar serta yang terkini- Meat Shop yang sudah pun  kantul sejak dua bulan lalu?

Kenapa perlu dicanangkan projek sebegitu sedangkan di setiap hospital negara kita mempunyai unit fisioterapi? Adalah lebih waras dan menjimatkan dengan kerajaan menaikkan taraf kemudahan di unit terbabit dan menambah kakitangan terlatih yang memberi perkhidmatan. Ataupun kakitangan fisioterapi dihantar berkursus teknik terkini fisioterapi. Adalah lebih mudah untuk pesakit datang dan menjalani pemulihan di hospital berbanding di Gunung Jerai. Sanggup dan mampukah pesakit untuk sampai ke puncak Gunung Jerai dalam perjalanan yang berliku dan menegangkan itu?

Cara Pak Syed mengulas ide itu, seolah-olah semua pesakit itu mampu dan mewah sepertimana dirinya. Berapa kerat pesakit di Kedah yang mampu terbang ke Singapura dan ke Jerman semata-mata menjalani rawatan fisio? Dan satu lagi, apakah pusat yang dicadangkan itu memberi rawatan percuma ataukah rakyat marhaen terpaksa bergolok-bergadai untuk menikmati rawatan picitan dan pemulihan yang lainnya itu?

Kembali kita kepada ‘kelahiran baru’ PakLah dalam menyedari betapa mahalnya rawatan penyakit barah serta penyakit seangkatannya yang terpaksa ditanggung rakyat marhaen. Tekad PakLah itu memang baik dan murni di atas kertas, namun kita merasakan sikap dan kesungguhan PakLah itu bakal setaraf dengan usaha gigihnya dalam membasmi rasuah yang kini dipersendakan orang.

Jika benar dan ikhlas akan keprihatinan DS Abdullah Badawi, beliau sewajarnya membatalkan segala perancangan untuk melaksanakan Skim Insurans Kesihatan dan meneruskan saja sistem sedia ada dan menambah-baikan  di mana yang perlu. Dalam soal peralatan serta kakitangan yang terlatih sepenuhnya sambil dijaga pula kebajikan mereka. Filipina pernah melaksanakan sistem insurans itu yang kemudiannya dibatalkan tidak lama kemudian oleh bantahan rakyat. Sistem insurans sebegitu telah pun kantul di Amerika Selatan sehingga menimbulkan skandal politik dan kewangan yang dahsyat.

Dengan separa penswastaan yang berjalan ketika ini pun telah merobek wang rakyat dengan sekerat dua manusia melahap keuntungan di sebaliknya. Bayangkan perbelanjaan ubat-ubatan sebelum diswastakan hanyalah sekitar RM150 juta, kos meningkat sehingga tiga kali ganda kepada RM450 juta sebaik sahaja pembekalan ubat diswastakan. Bayangkan sendiri bagaimana ruginya rakyat dan Negara apabila diambil-kira tentang perkhidmatan dobi, bahagian kebersihan dan pembekalan makanan yang diswastakan. Jelas cakap-cakap ‘meningkatkan mutu perkhidmatan’ hanyalah halwa telinga dan kelentongan sahaja.

Jika kita rajin untuk melihat dan meneliti akan projek yang disogok Datin Rosmah dengan kerjasama Lee Lam Thye kepada Menteri Pertahanan- Dato’ Seri Najib Tun Razak, lagilah dahsyat bagaimana mereka menyebat wang rakyat. PLKN hanyalah satu jalan untuk Najib dan kroni membalun dan melahap kantung wang rakyat dan pembayar cukai. Seperti yang kita katakan tadi, alasan yang diberi hanyalah bertaraf halwa telinga sahaja. Pokok pangkalnya, berapa yang dapat disauk ke dalam akaun peribadi dan anak bini serta kroni. Tidak mungkinkah beberapa kes ragut bebaru ini adalah lepasan dari program PLKN yang sedang mempraktikkan apa yang dipelajari di sana? Bayangkan jika mereka sudah pun mengetahui selok-belok penggunaan senjata api!! Tidak ada kena mengena dengan soal perpaduan rakyat berbilang kaum.

Datin Rosmah isteri TPM itu memang licik dan cekap mengumpul kekayaan melalui saluran kuasa Najib. Namun sejarah membuktikan bagaimana hampir semua projek yang Rosmah ada di belakangnya, ia sekadar menghanguskan wang rakyat sambil akaunnya mengembung. Masihkah kita ingat tentang Sekolah Bestari ketika Najib menjadi Menteri Pelajaran dahulu? Masih ingatkah bagaimana di zaman Najib itu, keputusan peperiksaan seluruh negara naik mencanak dengan keputusan 10A dalam SPM bersepah? Rupanya itu hanya mainan politik dengan arahan penurunan geraf markah sehingga ada kalangan yang berkeputusan cemerlang terpinga-pinga tidak mempercayainya. Tatkala para pelajar itu memasuki Universiti mahupun kolej barulah mereka tahu berapa nilai ‘10A’ mereka.

Ide seperti yang diluahkan oleh Pak Syed Razak dan PakLah seharusnya dibincang dan dibahas di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri secara telus dan bersungguh. Rujukan dan perbincangan dengan Pakar Perubatan dan pandangan NGO mesti dilakukan untuk mendapat hasil yang maksimum dan berkesan. Ketelusan dan keihklasan memainkan peranan yang besar. Melihat kepada sejarah rejim pemerintah, ditakuti sekiranya ia menjadi satu lagi jalan bagi mereka menghabiskan saki-baki wang rakyat yang ada dan projek itu pun kantul sebelum rakyat menikmati hasilnya. Tentu sudah ada pihak yang tersenyum girang kerana peluang yang bakal terhidang.

Dalam keadaan ekonomi rakyat yang begitu terhimpit ini, molek benar bagi kerajaan memperbaiki serta menambah-baikan program bercorak kebajikan kepada rakyat. Kesihatan dan perubatan adalah salah satunya, manakala yang lain-lain seperti peluang biasiswa, program latihan berorientasikan pekerjaan harus diperbanyakkan. Manakala program diploma dan sijil yang hanya menjadikan pelajar penghutang kepada PTPTN sehingga berpuluh ribu RM tanpa sebarang peluang kerja yang menanti harus ditamatkan. Ternyata ia hanya menjadi lukah kepada pengusaha institusi terbabit mengumpul kekayaan dengan rakyat kecil yang naif menjadi mangsa.

Sebelum berundur sekali lagi kita mengucapkan takziah kepada PakLah dan berdoa agar beliau menjadi seorang yang tabah serta ikhlas apabila memperkatakan tentang masalah kos rawatan yang mahu diperbaikinya. Kita juga amat berharap agar ia merenggangkan dirinya dari stail kepimpinan PM lalu yang banyak menyusahkan rakyat kecil serta membazir. Salah satu caranya ialah dengan mengemut-keluar para Panglima Perang yang menjadi proksi Tun Kepala Taik Mahathir. Selain itu PakLah harus prihatin tentang kerakusan menantunya Khairy dan rakan sekongkolnya dalam menyeleweng aset strategik negara. Kerana ianya adalah satu pengkhianatan kepada bangsa dan negara.

Manakala untuk Pak Syed Razak, eloklah berundur dari politik sambil menumpukan kepada tahap kesihatan supaya kembali pulih sebaik mungkin. Mengikut pengalaman, 2 hingga 3 tahun diperlukan beliau untuk mampu mencapai tahap 80% kesihatannya sebelum diserang angin ahmar dengan syarat bersungguh-sungguh melakukan terapi fisio. Itu pun harus diukur berdasarkan kepada tahap kerosakan pada bahagian otak akibat serangan ‘stroke’ itu. Dan hentikanlah idenya itu, lihat apa sudah jadi kepada Meat Shop kerana kelemahan perancangan.

Elok kita merenung sejenak apa yang dikatakan oleh penulis M.Bakri Musa, Malaysia terus berlenggang………..

Dr. Nologareng- 27.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net.    Cerminan: bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.