Surat Terbuka untuk warga Angkatan Tentera Malaysia- Laman M@RHAEN

 
 
 
 


Tuan tuan dan Puan puan yang di hormati

Assalamu`alaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,
 
 

Seperti sedia maklum pada 8 Mac 2008  negara kita akan mengadakan satu proses demokrasi iaitu pilihan raya umum yang ke-12.  Sejumlah 10.9 juta pengundi berdaftar termasuk 135,682 pengundi pos angkatan tentera serta pasangan akan turut mengundi sebelum 8 Mac 2008.

Eksploitasi Undi Pos

Proses pilihan raya di Malaysia ini berjalan dengan penuh kepincangan apabila undi pos digunakan semata-mata untuk membantu kemenangan parti Barisan Nasional.  Suara warga Tentera dan pasangan mereka yang ingin melihat negara dipimpin oleh pemimpin yang bersih daripada segala bentuk skandal dan salahlaku telah dinafikan oleh parti Barisan Nasional dengan mengeksploitasikan undi pengundi pos.

Jika tuan-tuan dan puan-puan telah berdaftar sebagai pengundi pos inilah peluang dan masanya untuk melakukan perubahan ke atas kepimpinan negara, maka keluarlah mengundi beramai-ramai. Sekiranya kertas undi dibiarkan  kosong, inilah peluang yang akan digunakan oleh parti BN. Jika kertas undi sudah dipangkah dengan memilih parti BUKAN-Barisan Nasional, kertas undi tersebut sudah tidak lagi boleh dieksploitasi..

Kebimbangan untuk memilih parti BUKAN BN

Buat masa ini tiada lagi parti pemerintah dan parti pembangkang. Semua parti adalah sama tarafnya kerana parlimen telah dibubarkan. Akta Angkatan Tentera 1972 (AKTA) di dalamnya terdapat garis panduan untuk pegawai dan  anggota tenteranya dalam menjadi pemilih semasa pilihan raya umum. Juga menerangkan seseorang pegawai dan anggota tentera boleh menghadiri ceramah umum asalkan tidak mengenakan pakaian seragam. AKTA 72 tidak menyatakan bahawa seseorang pegawai dan anggota diMESTIkan memilih atau memangkah calon-calon daripada parti BN. Oleh sebab itulah Angkatan Tentera diletakkan terus di bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Menteri Pertahanan hanya diberi kuasa untuk mentadbir dan mengurusnya sahaja. Jika terdapat mana-mana pegawai yang memaksa pegawai bawahan dan  anggotanya memilih parti BN dengan alasan menerima arahan daripada `pihak atasan` ianya telah melakukan kesalahan yang bertentangan dengan AKTA 72 itu sendiri.  Arahan itu dianggap TIDAK SAH. Jika ia berlaku juga laporlah kepada parti-parti BUKAN-Barisan Nasional untuk diambil tindakan selanjutnya. Nama dan Jabatan pegawai yang melakukan kesalahan tersebut hendaklah dicatat sama.

Jika dipertuduhkan `tidak mematuhi arahan pegawai atasan` tolak hukuman daripada Pegawai Pemerintah dan minta dibicarakan di Mahkamah Tentera dan dapatkan khidmat percuma daripada peguam peguam parti parti-BUKAN Barisan Nasional. Biarlah Mahkamah Tentera membicarakan beribu-ribu pegawai dan anggota tentera atas pertuduhan yang sebenarnya bertentangan dengan AKTA 72. `Tidak mematuhi arahan pegawai atasan` akan dipejelaskan secara detail semasa perbicaraan nanti iaitu `tidak memilih calon BN`. Sebaik saja perkataan ini keluar dan diperjelaskan ia secara automatik bertentangan dengan AKTA 72 itu sendiri. Jadi jangan ragu-ragu untuk memilih parti BUKAN-BN.

Keprihatinan warga Tentera

Setiap kali menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera atau Hari ulang tahun Tentera Darat. Laut dan Udara, panglima ATM atau Panglima ketiga-tiga cabang perkhidmatan akan berucap dan memberi amanat. Sebahagian dari teks ucapan panglima panglima AngkatanTentera ialah warga tentera dituntut untuk peka dan prihatin terhadap persekitaran dan sentiasa berwaspada dengan musuh musuh negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan tidak lagi bertempur berhadapan dengan musuh dengan menggunakan teknologi senjata tetapi sedang berhadapan dengan teknologi senjata ekonomi. Di era globalisasi dunia tanpa sempadan. FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) adalah senjata musuh. Sebelum berhadapan dengan musuh sebenar kita perlu mengenal pengkhianat yang menjual  negara dan memusnah Negara. Indeks rasuah, hak asasi, kebebasan media di peringkat antarabangsa menunjukkan Negara Malaysia berada di senarai tercorot.

Kenal pengkhianat sebelum kenal musuh

Untuk mengenal siapakah pengkhianat negara sebenarnya mereka ialah Perdana Menteri Malaysia, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, elit-elit politik Barisan Nasional dan kapitalis-kapitalis.

Perdana Menteri terlalu lemah mentadbir negara ini kerana terlalu kerap menaikkan harga petrol dan membiarkan kapitalis-kapitalis menaikkan harga barangan keperluan harian sesuka hati. Kenaikan harga barangan keperluan adalah rantaian kepada kenaikan harga petrol. Menaikkan harga Tol yang mana kerajaan membuat perjanjian berat sebelah hanya menguntungkan syarikat tol, dan merugikan rakyat. Syarikat Tol mempunyai kaitan dengan elit-elit politik BN.

Isu pembatalan Jambatan Bengkok yang merugikan negara. Isu WPI ( Wilayah Pembangunan Iskandar) di selatan Johor  di mana perjanjian dibuat dengan Singapura merugikan dan membahayakan negara dalam jangka masa panjang.

Pemberian kad pengenalan kepada warga asing untuk mengundi seperti berlaku di Sabah (semasa pemerintahan Dr Mahathir) dibuktikan di mahkamah di Sabah. Warga tentera bertugas di sempadan menjaga kedaulatan negara sedangkan elit-elit politik BN menjadi pengkhianat.

Kemasukan satu juta warga asing berdaftar, tidak dikira lagi yang tak berdaftar adalah ancaman kepada negara seperti yang disebut oleh Panglima ATM. Perkara ini diambil secara lewa oleh kempimpinan BN kerana mereka akan menggunakan khidmat warga asing ini sebagai pengundi hantu.

Timbalan Perdana Menteri

Skandal pembelian kapal peronda persisiran pantai yang bernilai RM6.75 billion. Laporan Audit Negara 2006 yang akhirnya menimbulkan kesangsian terhadap Kementerian Pertahanan yang diterajui oleh Menteri Pertahanan Dato` Seri Najib Tun Razak. Dalam satu ulasan Pengerusi PAC Dato’ Shahrir Samad berkata ‘rekod-rekod tertentu berkaitan dengan urusan pembelian enam kapal peronda persisiran pantai yang bernilai RM6.75 biilion telah ‘dimusnahkan’.

Kos untuk membaikpulih kapal peronda persisiran pantai tersebut yang masih dalam pembinaan kosnya telah bertambah sebanyak RM1.4 billion. Bagaimana pula dengan komisyen Dato Seri Najib terhadap pembelian Sukhoi melalui Syarikat milik Adib Adam bekas Menteri kabinet Barisan Nasional? Kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu warga Mongolia dikaitkan dengan Dato Seri Najib apabila Razak Baginda penasihat ketenteraan Dato Seri Najib telah menggunakan pengawal peribadi Dato Seri Najib iaitu anggota polis pasukan UTK untuk meletupkan mayat Altantuya Shaariibuu dengan menggunakan bahan letupan C4. Bahan letupan C4 tersebut hanya boleh diperolehi di Depoh Simpanan Peluru milik Angkatan Tentera Malaysia sahaja.

Kesimpulan

Tuan-tuan dan puan-puan tidak mampu untuk membetulkan penyelewengan dan salahlaku rasuah yang berlaku di Kementerian Pertahanan, Markas Formasi dan unit-unit kecil Tentera kerana mereka yang berkuasa dan memegang jawatan tertinggi iaitu Menteri Pertahanan sendiri adalah pengkhianat negara. Inilah antara sebabnya rasuah berkembang biak di dalam sesuatu organisasi.

Dari itu marilah semua warga tentera beserta kami rakyat seluruhnya membuat satu perubahan besar dalam tampuk pemerintahan negara Khas untuk pengundi pos Tentera Darat Kem Batu 10 Jalan Gambang Kuantan dan TUDM Kuantan di tangan andalah menentukan masa depan negara Malaysia.
 

Selamatkan Malaysia.
 

- Saumagrho`din Al-Chechen.

LamanWeb Bahan Kempen

29.02.2008

Laman M@RHAEN dihoskan di: http://www.marhaen.org/v1      Tapak cerminan di: http://www.marhaendaily.net/v1
Tajaan: PerigiDuit


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Emel