![]()
Gempar! 2 orang ADUN di Kelantan akan tinggalkan Umno
Oleh Ammar Yasir - Laman M@RHAEN
Pada hari Isnin 21 Mac yang lepas, saya telah bertemu dengan Exco kanan kerajaan Kelantan Haji Husam Musa di pejabatnya di Kota Darul Naim. Saya terpaksa menunggu beliau terlebih dahulu kerana beliau sedang meraikan tetamunya. Apabila tetamu tersebut keluar, saya agak terkejut melihat mereka berdua kerana saya amat mengenali mereka itu. Mereka adalah dua orang ADUN Umno di dua bahagian yang berasingan di Kelantan.
Saya pun terus masuk ke bilik Haji Husam dan berbicara dengannya. Tajuk asal perbincangan telah menjadi tajuk kedua perbincangan kami kerana saya tiba-tiba berminat untuk berbincang tentang tujuan mereka berdua tadi datang menemuinya.
Pertamanya Haji Husam memaklumkan kepada saya untuk merahsiakan identiti kedua-dua orang ADUN Umno tersebut bagi menjaga kedudukan mereka buat sementara waktu ini sehinggalah pada suatu masa yang sesuai nanti.
Menurut Haji Husam mereka berdua mempunyai niat untuk menyertai PAS pada masa yang terdekat ini. Antara alasan mengapa mereka berniat untuk menyertai PAS disebabkan rasa tertekan dengan perpecahan yang melanda Umno Kelantan hari ini terutamanya selepas rombakan kepimpinan perhubungan negeri yang menggugurkan Datuk Mustapa Mohamad dengan digantikan oleh Datuk Annuar Musa.
Menurut mereka lagi, perpecahan tersebut telah mengakibatkan mereka berdua yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kem pun turut terkena penangan akibat permusuhan di antara kem.
Haji Husam juga turut menyatakan bahawa niat mereka juga adalah untuk menguatkan pentadbiran kerajaan Kelantan dengan sama-sama berganding bahu untuk membangunkan ekonomi negeri Kelantan.
Kedua-dua orang ADUN itu kata Haji Husam mahu memberi sumbangan khasnya idea-idea mereka kepada kerajaan negeri yang ikhlas memperjuangkan kepentingan rakyat berbanding dengan pimpinan Umno Kelantan yang sibuk membahagi-bahagikan projek Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan kepada kroni-kroni mereka supaya komisyen yang tinggi terjamin.
Sejauh mana kebenaran tentang niat mereka berdua itu, sama-samalah kita tunggu. Apabila saya meminta jaminan dari Haji Husam tentang kesungguhan mereka itu, beliau menyatakan bahawa harapan beliau agar kita semua berdoa semoga Allah memberi hidayah dan kekuatan kepada mereka.Ammar Yasir
ammar_jadid@yahoo.com - 23.03.2005 ( marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)