Info Media & Aktiviti Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
TIADA ALASAN:  REBET UNTUK PENGGUNA ADALAH WAJIB!

Pada 13 Julai 2005 Angkatan Muda Negeri Sembilan menghantar delegasi bertemu YAB Menteri Besar Negeri Sembilan  untuk menyerahkan Nota Peringatan dan berbincang mengenai Krisis Air Negeri Sembilan. Nota terbuka dan pertemuan itu cuba dilaksanakan setelah Pusat Aduan Angkatan Muda Malaysia menerima lebih dari seratus laporan dan aduan pengguna mengenai isu air di Negeri Sembilan khususnya kawasan Seremban.

YAB Menteri Besar tidak mahu bertemu kami atas alasan mesyuarat. Pejabat Menteri Besar ketika dihubungi pagi itu (13 Julai, 8.00 pagi) menyatakan kesibukan YAB Menteri Besar tetapi telah mengarahkan Setiausaha akhbarnya untuk berbincang dengan kami. Malangnya ketika jam 11.00 pagi ketika kami sampai, bukan sahaja kami tidak dibenarkan masuk tetapi YAB Menteri Besar Negeri Sembilan hanya menghantar seorang pengawal keselamatan Wisma Negeri sambut kami. Tindakan sombong beliau sebagai seorang Menteri Besar yang baru mendapat mandat rakyat amat dikesali.

Krisis Air

Rungutan mengenai bekalan air di Negeri Sembilan seperti kemelut yang tiada kesudahan. Isu mengenai kualiti air yang teruk dan bekalan air yang tidak sempurna (terputus atau tekanan air rendah) masih terus menghantui rakyat negeri ini.

Kini sudah sebulan rakyat khususnya di sekitar Seremban (yang menggunakan bekalan dari Empangan Sungai Terip) telah mengalami catuan air. Catuan kononnya kerana aras air di Empangan Sungai Terip telah melepasi tahap kritikal.

Ini membuktikan Kerajaan Negeri - Exco yang terbabit ( Pengerusi Jawatankuasa Tenaga, Air, Telekomunikasi dan Pembangunan Luar Bandar) gagal dalam menguruskan bekalan air di negeri ini, mereka diminta bertanggungjawab penuh dalam hal ini. Isu air ini telah bertukar menjadi krisis serius.

Kerajaan lemah punca krisis Air :

• Kerajaan Negeri gagal menguruskan air negeri. Sebab utama ialah kehilangan air atau apa yang dipanggil non-revenue water (NRW) yang kadarnya dikatakan mencecah 54% di daerah Seremban, yang tertinggi di Malaysia. NRW di negeri ini bukan kerana paip pecah atau kegiatan curi air oleh pengguna biasa tetapi melibatkan salah guna kuasa yang diketahui kerajaan negeri. Kami mempunyai bukti kukuh dan kami mencabar YAB Menteri Besar menafikannya. 

• Kerajaan Negeri Sembilan sebenarnya tidak ada sebarang pelan tindakan yang konkrit untuk bersedia mengenai bekalan air. Tiada sebarang persiapan menghadapi sebarang kemungkinan. Dengan harga air yang mahal dan peruntukan dari wang rakyat yang banyak kerajaan negeri seharusnya bersikap proaktif dalam perkara ini bukan setakat tunggu sehingga masalah datang baru cari penyelesaian.

• Kerajaan negeri telah membelanjakan RM132.28 juta untuk Program Pembaikpulihan Sistem Pembekalan air yang gagal. Ini diakui dalam penilaian Ketua Audit Negara (Negeri Sembilan 2002), keADILan sudah hantar laporan BPR

• Alasan Empangan Sungai Terip kering telah menunjukkan salah urus atau kegagalan kerajaan kerana N.Sembilan bukanlah kawasan yang sinonim dengan kemarau. Masalah kemarau ini wujud seiring dengan kegagalan pengurusan kawasan tadahan air. Hampir kesemua kawasan tadahan air merupakan hutan simpan kekal. Namun kawasan hutan simpan kekal berhampiran Bukit Tangga telah dicerobohi dengan kebenaran kerajaan negeri. Balaknya telah dibawa keluar ketika projek menaik taraf jalan Seremban – Jelebu. 

Masalah dari catuan 

• Masalah kualiti air memang sudah terlalu biasa bagi rakyat Negeri Sembilan, secara kasar boleh dikatakan 70 % rakyat negeri ini telah terpaksa keluar duit membeli alat penapis air di rumah. Semasa catuan ini pengguna terpaksa menggunakan wang lebih untuk menukar bahan penapis kerana kualiti air yang lebih kotor khususnya ketika air yang mula – mula datang pada waktu pagi. Kami memandang serius perkara ini kerana ia seolah seperti menghantar penyakit terus ke rumah rakyat.

• Selain air yang datang pada waktu pagi kotor, 2 -3 minit awal ketika bekalan air mula datang akan membawa hanya angin. Malangnya meter di rumah akan mengira juga angin yang di tolak. (paip yang kosong akan di isi angin dan angin ini akan ditolak ke rumah – rumah ketika air mula disalurkan semula). Maknanya sepanjang tempoh catuan rakyat derita tetapi Kerajaan Negeri Sembilan kaya kerana jual angin.

• Kerajaan Negeri Sembilan ada membuat kenyataan mengenai catuan air yang bermula dari jam 8.00 malam – 8.00 pagi. Ini bohong! Banyak tempat yang kena catuan tidak ikut masa. Contohnya di Taman Bukit Chedang pada 7 Julai bekalan air terhenti pada pukul 7.30 malam dan air hanya datang (itu pun dengan tekanan rendah dan kotor) pada jam 11.30 pagi. Dan kini keadaan lebih parah apabila banyak kawasan telah mengalami catuan lebih 24 jam!

Menteri Besar menangani isu ini dengan pembohongan dan kenyataan yang bodoh:

• Menteri besar cuba memutar belitkan masalah ini untuk tidak bertanggungjawab terhadap isu sebenar. Kenyataannya yang tersiar dalam berita TV dan akhbar utama pada 11 Julai 2005 beliau cuba menyatakan bahawa catuan bertujuan untuk mengajar rakyat Negeri Sembilan menghargai air kerana selama ini rakyat Negeri Sembilan membazir air

• Dalam kenyataan yang sama juga Menteri Besar telah berbohong dengan menyatakan bahawa tariff air di negeri ini termurah. Hakikatnya tariff air Negeri Sembilan antara yang termahal.

• YAB Menteri Besar Negeri Sembilan sekali lagi cuba memperbodohkan rakyat - kenyataannya yang tersiar dalam akhbar Ahad, 17 Julai yang menyatakan sebab kekeringan empangan ialah kerana kegiatan bomoh hujan. Dalam kenyataan tersebut juga beliau meminta supaya bomoh hujan di N.Sembilan memberhentikan kegiatan.

Menyedari rakyat negeri sedang menderita maka Angkatan Muda dengan tegas menuntut:

jangka pendek

- rebet khas dalam bil pengguna yang terlibat dengan catuan
(berasaskan masalah yang ditanggung pengguna yang terlibat dalam catuan dan meter yang mengira tekanan angin)
- menghantar bekalan air (melalui lori) kepada rumah dalam kawasan catuan yang terlibat mengadakan kenduri dan seumpamanya

jangka panjang

- satu kajian menyeluruh dan teliti untuk mewujudkan pelan tindakan yang konkrit bagi menghadapi segala kemungkinan, perlu dibuat oleh Kerajaan Negeri berkenaan isu air (cth ; empangan kering, kualiti air dsb.)

Perkara ini amat serius dan menjejaskan ramai rakyat. Kami bersedia bekerjasama dan sedia duduk berbincang dengan kerajaan negeri untuk sama – sama mengambil tanggungjawab memastikan rakyat tidak terus terjejas dengan masalah ini. Jika kerajaan negeri terus memekakkan telinga dalam menghadapi perkara ini kami pasti pengundi di Negeri Sembilan akan memilih BN dalam pilihan raya yang dijangka 2-3 tahun lagi. Yang paling penting! kesedaran dan keberanian untuk bertindak mendapatkan hak penting untuk melindungi hak rakyat! 

Angkatan Muda Negeri Sembilan (AMNS) – Sahabat Negeri Sembilan – sentiasa di pihak anda!


Terbitan Angkatan Muda N.Sembilan Parti Keadilan Rakyat (keADILan) Makluman / respons mengenai ISU ini boleh terus menghubungi Pusat Aduan Rakyat, N.Sembilan email: penerangan_keadilan@yahoo.com  hotline: 0176688404
Tolong buat salinan dan edarkan!!!
17.08.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)

Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.