Info Media & Aktiviti Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
Pemuda BA Negeri Sembilan Cabar MB Minum Air Dari Paip
Oleh Faisal Mustaffa

SEREMBAN- Pemuda Barisan Alternatif (BA) hadir ke Wisma Negeri, Seremban yang menempatkan pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan membawa sampel air bagi menunjukkan betapa kritikalnya masalah catuan air yang berlaku di negeri itu.

Pemuda BA yang diketuai oleh Pengerusi Biro Bencana dan Hal Ehwal Masyarakat Angkatan Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin turut menghantar nota peringatan terbuka tanda desakan rakyat supaya Exco yang bertanggungjawab meletak jawatan.

Turut hadir dalam penyerahan nota bantahan itu ialah Exco Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar, Mohamad Taufek Abd Ghani, Ketua Angkatan Muda Negeri Sembilan, Arifin @ Rebin Berham; Ketua Penerangan Perhubungan KeADILan Negeri Sembilan, Chai Tong Chai dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkifli Omar.

Nota tersebut dihantar berdasarkan ratusan laporan yang telah diterima oleh Pemuda BA.

Seperti yang dijangkakan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohammad Hassan tidak hadir untuk menerima nota tersebut. Setiausaha akhbarnya, Mokhtar juga enggan turun menyambut delegasi tersebut.

Nota tersebut akhirnya disambut oleh seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai ketua pegawai keselamatan negeri selepas hampir sejam menunggu di luar bangunan.

Badrul mencabar supaya wakil MB itu minum sampel air yang berwarna perang itu tetapi beliau menolak dengan terus meminta maaf.

Beliau enggan memberi sebarang komen dan berjanji akan menyampaikan apa sahaja yang dihulurkan untuk dihantar ke Menteri Besar.

Para penyokong yang hadir semasa penghantaran nota bantahan itu mengedarkan risalah dan membawa pelbagai sepanduk termasuk ’mock’ paip air.

Mereka mendapat respon yang baik dari kakitangan dari jabatan-jabatan kerajan yang berhampiran dan pemandu kenderaan turut membunyikan hon tanda sokongan.

Menurut Badrul, Pemuda BA Negeri Sembilan akan terus edar risalah dan menjalankan pelbagai program kesedaran mengenai kelemahan kerajaan negeri.

"Jika kerajaan negeri terus memekakkan telinga dalam menghadapi perkara ini kami akan memastikan bahawa isu ini bakal menjadi bom jangka kepada kerajaan BN yang kini menerajui Negeri Sembilan pada pilihan raya yang dijangka 2-3 tahun lagi," kata Badrul lagi.

  

18.07.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN