Info Media & Aktiviti Angkatan Muda Malaysia PKR
Sharizat perlu dengar rintihan surirumah, 
bukan setakat promosi Keluarga Bahagia



Angkatan Muda
Youth Movement
Parti Keadilan Rakyat
Peoples Justice Party
17 Mei 2005

Suri rumah dan ibu amat tertekan dengan kenaikan harga barangan dan masalah berkenaan tidak akan selesai dengan pihak berkuasa melaungkan slogan ‘Keluarga Bahagia’ semata-mata, kata Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin.

Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sharizat Abdul Jalil memberi perhatian khusus berhubung isu itu kerana suri rumah dan ibu menerima implikasi paling teruk akibat kenaikan harga barang dan inflasi.

“Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu membuat satu kajian sosial khusus ke arah itu,” katanya semasa menyerahkan satu Nota Peringatan Sempena Hari Ibu 2005 bertajuk, 'Suri rumah mangsa kezaliman kegagalan kerajaan kawal inflasi' kepada kementerian berkenaan, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata kementerian terbabit perlu membentang serta mengkaji masalah tersebut secara menyeluruh.

"Tujuannya supaya dapat mengurangkan bebanan golongan ibu yang sekarang ini bukan saja terpaksa bekerja tetapi bekerja lebih masa pula," katanya.

Beliau berkata, masyarakat dan kementerian sepatutnya memandang serius situasi ibu dan suri rumah yang tertekan dengan kenaikan harga barang.

"Apabila kerajaan sendiri cuba elakkan daripada menanggung subsidi minyak diesel dan petrol secara automatiknya rakyat dan golongan ibu yang mengurus perbelanjaan keluarga terpaksa menanggung tekanan yang lebih serius.

"Kita risau disebabkan ibu yang terpaksa pergi kerja dan membuat tugas tambahan akan menimbulkan lebih banyak masalah sosial dan jenayah remaja yang semakin parah sekarang ini," katanya.

Justeru itu katanya, bersempena Hari Ibu baru-baru ini, KPWKM tidak wajar setakat mempromosi iklan 'Keluarga Bahagia' kepada masyarakat tetapi perlu membantu golongan tersebut kerana mereka terpaksa menanggung beban yang besar setelah berlakunya peningkatan harga minyak yang mengakibatkan peningkatan harga barangan lain.

"Sempena Hari Ibu ini kita mengajak KPWKM berfikir masalah suri rumah dan ibu secara dekat dan kerajaan jangan lepas tangan untuk mengurangkan subsidi minyak dan selepas itu memarahi peniaga menaikkan harga barangan.

"Perlu diingat para peniaga pun tidak mahu menanggung beban dan mengapa pula peniaga kecil perlu tanggung beban kos kenaikan dan pastinya mereka akan ikut 'stail' kerajaan dan untuk mendapat balik kos yang meningkat itu rakyat terbanyak menerima bebanan," katanya.

Nota peringatan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Biro Pembangunan Wanita Angkatan Muda Malaysia merangkap Naib Ketua Angkatan Muda Malaysia, Sahrifah Shahida Syed Kamaruzaman. Ia diterima oleh Setiausaha Politik KPWKM, Dr Abdul Razak Omar.

Dr Abdul Razak memberitahu beliau akan memberi perhatian dan memandang serius memorandum tersebut, seterusnya akan berbincang dengan menterinya. Rombongan Angakatan Muda Malaysia itu turut disertai oleh exco - Exco Angkatan Muda Malaysia, Zarerah hanem Md Zaki, Faisal Mustafa, Jasmine dan beberapa ahli jawatankuasa biro pembangunan wanita.

Berita oleh Pusat Media Angkatan Muda Malaysia (0163242564)
17.05.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: