![]()
Info Media & Aktiviti Angkatan Muda Malaysia PKR
KEMPEN BARU “TAK NAK”
TELAN LAGI RM30 JUTA WANG RAKYAT TAHUN INI
![]()
Angkatan Muda
Youth Movement
Parti Keadilan Rakyat
Peoples Justice PartyKenyataan Media
29 APRIL 2005Angkatan Muda Malaysia melihat tindakan kerajaan mengumumkan perbelanjaan wang rakyat sebanyak RM 30 juta untuk dibazirkan ke sebuah kempen yang tidak berkesan, Kempen “Tak Nak’ merupakan satu usaha zalim.
Wang negara sebanyak itu dibazirkan ketika rakyat benar – benar dihimpit peningkatan kos hidup sama sekali tidak boleh diterima. Wang yang sebegitu banyak seharusnya digunakan kepada projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang lebih konkrit.
Semalam 28 April 2005, berdasarkan Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dilaporkan berkata, peruntukan bagi kempen tersebut sama seperti tahun lalu iaitu sebanyak RM20 juta, tetapi pada tahun ini tambahan sebanyak RM10 juta diberikan bagi membolehkan kempen gaya hidup sihat dilaksanakan.
Angkatan Muda Malaysia menyifatkan Kempen anti-merokok `Tak Nak' dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 9 Februari tahun lalu dalam usaha mengatasi masalah kesihatan rakyat negara ini akibat pengambilan tembakau didapati gagal dan hanya membazirkan wang rakyat.
Sebagai bukti kajian terkini yang turut disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati 50 peratus lelaki di Malaysia merupakan perokok dan jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding peratus perokok di negara-negara maju iaitu Amerika Syarikat (35 peratus) dan United Kingdom (38 peratus).
Berdasarkan kajian yang sama juga peratus perokok tegar di Malaysia, kaum Melayu menduduki tangga teratas dengan 35 peratus, Cina (23 peratus) dan India (20 peratus).
Mengikut sumber dalaman Kementerian Kesihatan sendiri hampir kesemua peruntukan tahun lepas telah dibayar kepada sebuah syarikat pengiklanan untuk menguruskan kempen tersebut. Syarikat tersebut walaupun jelas tidak mempunyai pengalaman dan rekod kukuh tetapi oleh kerana jaminan yang diberikan oleh mereka kepada Kementerian bahawa kempen melalui syarikat pengiklanannya akan berjaya, maka mereka diberi hak untuk menggunakan (baca: membazirkan) sebahagian besar peruntukan tahun kempen itu bagi tahun lepas. Beberapa maklumat lain pula mengatakan syarikat tersebut mendapat peluang tersebut kerana mempunyai hubungan baik dengan pemimpin kerajaan.
Angkatan Muda Malaysia mendesak untuk Kementerian Kesihatan mendedahkan nama syarikat yang gagal melaksanakan tanggungjawab setelah membazirkan wang rakyat.
Suka ditegaskan Angkatan Muda Malaysia tidak menafikan pentingnya untuk menghentikan tabiat merokok yang tinggi di kalangan warga Malaysia tetapi kami mengecam tindakan mengambil kesempatan atas isu ini untuk terus membazirkan puluhan juta wang rakyat untuk satu kempen bodoh yang hanya bersifat retorik.
Kronisme, Penyalahgunaan Kuasa dan Rasuah musuh Utama negara.
Mohamad SD Johari Hj Yasin
Setiausaha
Angkatan Muda Malaysia
SDJohari_AngkatanMuda@yahoo.com - 29.04.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)