Kenyataan Media Angkatan Muda PKR
Penyelesaian PR Simplistik: Shahrir Tidak Realistik Laman M@RHAEN

 
 


Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
 
 
 

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin menyanggah kenyataan Menteri KPDNHEP, Dato' Shahrir Samad yang memandang sinis tekad Pakatan Rakyat (PR) untuk menurunkan harga minyak jika memerintah Malaysia.

Kenyataan Shahrir yang menyatakan bahawa komitmen PR adalah simplistik menggambarkan kedangkalan beliau dalam memahami aspek tadbirurus sumber ekonomi negara.

Komitmen KeADILan dan rakan-rakan PR lainnya untuk menurunkan harga minyak adalah bersesuaian dengan keuntungan yang diperoleh oleh negara melalui hasil eksport minyak yang turun memberi kesan positif kepada perolehan keuntungan Petronas setiap tahun.

Malah AMK berpendapat, usaha kerajaan bahawa untuk mengsubsidikan RM10 billion keuntungan Petronas kepada sektor makanan perlu lebih realistik. Shahrir dan pimpinan Barisan Nasional (BN) lainnya perlu akur, bahawa komitmen KeADIlan dan PR untuk menurunkan harga minyak ini dibuat sebelum daripada krisis bekalan makanan berlaku.

Dalam keadaan bekalan makanan dikawal, kerajaan juga perlu prihatin dengan masalah ekonomi rakyat yang terkesan teruk dengan kenaikan harga minyak. Justeru, kawalan harga petrol perlulah diletakkan sebagai prioriti utama usaha pemulihan ekonomi negara.

AMK dengan ini mendesak kerajaan dan Petronas untuk mengemukakan Laporan Kewangan Tahunan merangkumi keuntungan kasar dan bersih,perbelanjaan keluar dan masuk supaya rakyat tahu bagaimanakah hasil bumi Malaysia ini dibelanjakan dan adakah ianya berhemah atau tidak.

AMK menggesa agar perincian menyeluruh keuntungan Petronas, termasuklah punca-punca keuntungan dan ke mana ia dibelanjakan juga didedahkan kepada umum melalui Parlimen agar rakyat boleh menilai keupayaan kerajaan mentadbirurus keuntungan Petronas dengan kredibel.

AMK berkeyakinan penuh bahawa Malaysia sangat berkemampuan untuk mengawal harga minyak domestik sekiranya pengurusan sumber minyak dan keuntungannya diselenggara dengan baik tanpa sebarang bentuk perbelanjaan boros dan tidak menguntungkan majoriti rakyat.

Paling penting,sekiranya kerajaan BN terus berdolak dalih, penurunan harga minyak ini boleh direalisasikan dengan menyerahkan pengurusan ini kepada yang pakar dan berkebolehan, konotasi jelas merujuk kepada peralihan kuasa daripada BN kepada PR.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat


Biro Penerangan
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
No 110-4, Jln Tun Sambanthan, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur
Laman Web Rasmi: http://www.angkatanmuda.org
Emel: penerangan@angkatanmuda.org

07.05.2008

Laman M@RHAEN dihoskan di: http://www.marhaen.org/v1      Tapak cerminan di: http://www.marhaendaily.net/v1
Ditaja oleh:


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Emel