![]()
Kenyataan Media Angkatan Muda PKR
Kenaikan Tol Tidak Munasabah - Laman M@RHAEN
Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia28 November 2007
Kenaikan Tol Tidak Munasabah
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menggesa kerajaan mencari jalan penyelesaian supaya kenaikan harga tol dapat dielakkan. Umum mengetahui, kenaikan tol akan menyumbang sedikit sebanyak ke atas kenaikan harga barangan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Sebarang kenaikan harga akan memberi kesan langsung ke atas ekonomi kebanyakkan rakyat. Kerajaan juga tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan membenarkan kenaikan kadar tol tersebut.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu tidak seharusnya bertindak menjadi jurucakap bagi pihak syarikat konsesi di dalam kabinet untuk menyuarakan hasrat mereka untuk menaikkan kadar tol. Beliau seharusnya meneliti dan membuat kajian terperinci ke atas permintaan tersebut samada ianya wajar atau tidak. Semasa sesi perbahasan di Parlimen, beliau secara sedar atau tidak telah menjadi jurucakap bagi pihak pemegang konsesi dengan menyatakan syarikat konsesi terpaksa membayar hutang bank selain membayar gaji kakitangan dan menyediakan peruntukan untuk menyelenggara lebuh raya. Sebagai seorang menteri dan ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat, beliau seharusnya meletakkan kepentingan rakyat di hadapan, bukannya segelintir golongan korporat. Inilah yang berlaku apabila menteri lebih mementingkan golongan korporat daripada rakyat.
Dalam kes Penang Bridge Sdn. Bhd. (PPSB), jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan ialah sebanyak RM 22 juta. Sementara itu, di dalam satu kenyataan, Pengerusi UEM Builders Bhd., Datuk Abdul Rahim Abu Bakar mengumumkan perolehan sebanyak RM 146 juta melalui konsesi tol bagi Jambatan Pulau Pinang. Sementara itu, Plus Expressways Bhd. (PLUS) juga bercadang untuk menaikkan 10% kadar tol tahun hadapan. Dalam masa yang sama, PLUS mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 583 juta bagi separuh tahun pertama 2007. Dalam kes sebegini, pampasan tidak diperlukan kerana syarikat tidak mengalami kerugian, malah pampasan yang diterima dari kerajaan yang merupakan wang cukai rakyat hanya merupakan satu bonus bagi syarikat pemegang konsesi.Lagipun, jumlah trafik bagi kedua- dua laluan tersebut sentiasa meningkat seterusnya meningkatkan jumlah kutipan.
Lebuh Raya Utara Selatan sejauh 846 kilometer yang mula dibina pada tahun 1988 telah mencatatkan kutipan tol sebanyak RM 15.91 billion sehingga Disember 2006. Ia adalah 3 kali ganda dari kos pembinaan iaitu sebanyak RM 5.94 bilion. Seharusnya kutipan tol di lebuh raya ini sudah dimansuhkan, tetapi PLUS, anak syarikat Kumpulan UEM telah diberi konsesi selama 50 tahun untuk mengurus dan menyelenggara lebuh raya tersebut. Kerajaan dicabar supaya mendedahkan semua butiran perjanjian konsesi kepada rakyat sebagai bukti ketelusan kerajaan di dalam menguruskan hal ehwal rakyat.
AMK bersetuju dengan pandangan FOMCA supaya kerajaan mengkaji semula kadar tol secara tetap bagi setiap 3 tahun. Kenaikan tol haruslah berdasarkan keperluan, dan kewajaran berdasarkan keadaan semasa.
Walaubagaimanapun, tahniah diucapkan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu di atas pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu- Kuala Krai sepanjang 75 kilometer tanpa tol di negeri Kelantan.
Hasmuzair Hassan
EXCO Angkatan Muda
Parti Keadilan RakyatMaklumat Terkini:
BERNAMA: Kadar Tol Di Empat Lebuh Raya Tidak Naik Tahun Depan
![]()
Poster-poster TAK NAK! BN dapat diperolehi/muat-turun di: http://my.opera.com/marhaen/blog/index.dml/tag/Poster
Biro Penerangan
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
No 110-4, Jln Tun Sambanthan, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur
Laman Web Rasmi: http://www.angkatanmuda.org
Emel: penerangan@angkatanmuda.org28.11.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.