![]()
Kenyataan Media Angkatan Muda PKR
Kerajaan Jangan Main Sentimen Perkauman Dalam Isu Hindraf - Laman M@RHAEN
Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia24 November 2007
Kerajaan Jangan Main Sentimen Perkauman Dalam Isu Hindraf
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meluluskan permit ke atas perhimpunan yang bakal dianjurkan oleh Hindraf Ahad ini.
Sebagaimana perhimpunan yang dianjurkan Bersih pada 10 November lepas, perhimpunan Hindraf ini adalalah merupakan satu manifestasi hak rakyat untuk berhimpun dan menyatakan pendapat sebagaimana yang dijamin Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Tindakan Timbalan Perdana Menteri yang mengecam Hindraf dengan cemuhan berunsur perkauman adalah sesuatu yang amat biadap, dalam keadaan masalah kerencaman masyarakat India di Malaysia pada masa kini bukan satu keadaan yang boleh dimanipulasi dengan sentimen perkauman, sebaliknya ia berbalik kepada konsep keadilan sosial dan pengagihan ekonomi yang tidak seimbang yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional.
Penahanan 3 peguam yang merupakan tulang belakang kepada Hindraf iaitu P Uthayakumar, P Waythamoorthy dan V Ganapathy Rao oleh PDRM adalah merupakan satu tindakan yang amat tidak profesional, di saat mereka bangkit mempertahankan hak masyarakat India. Tuduhan yang disabitkan ke atas mereka di bawah Akta Hasutan juga adalah satu tindakan yang jelas cuba mengekang rakyat untuk mendapatkan akses maklumat.
Sewajarnya Kerajaan Barisan Nasional memberikan penumpuan untuk memperbetulkan keadaan kestabilan masyarakat Malaysia, bukan mengekang rakyat untuk berhimpun dan melaksanakan hak demokratik mereka.
Isunya bukan masalah kaum India semata-mata, isunya adalah penindasan berterusan ke atas rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Dan terbukti jelas, selepas 50 tahun merdeka, BN meneruskan tradisi gagal membela rakyat.
Justeru, AMK menyeru segenap lapisan rakyat yang merdeka jiwa dan minda untuk sama-sama menyatakan sokongan kepada perhimpunan Hindraf Ahad ini atas prinsip dan hak demokratik yang dijunjung sekian lama.
Khairul Anuar Ahmad Zainuddin
Naib Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
Biro Penerangan
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
No 110-4, Jln Tun Sambanthan, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur
Laman Web Rasmi: http://www.angkatanmuda.org
Emel: penerangan@angkatanmuda.org21.11.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.