Kenyataan Media PKR
Laba Petronas Bernilai RM76 billion:
Turunkan Segera Harga Minyak Demi Kesejahteraan Rakyat 
Laman M@RHAEN





Media cetak arus perdana hari ini (29 Januari 2007) telah menyiarkan berita mengenai kejayaan Petronas yang terus mengekalkan rekod keputusan kewangan cemerlangnya dengan meraih keuntungan sebelum cukai RM76.3 billion dan hasil keuntungan tersebut, Petronas menyumbang balik sejumlah RM48.3 bilion kepada kerajaan dalam bentuk cukai, dividen, royalti dan eksport duti.

Angkatan Muda KeADILan Malaysia (AMK) ingin menyatakan tahniah di atas kejayaan tersebut, dan kesempatan ini diambil untuk menyatakan ketegasan AMK bahawa wujud keperluan yang mendesak dan munasabah agar harga minyak diturunkan pada kadar yang segera.

AMK berpendapat bahawa tidak ada sebab untuk Petronas dan Kerajaan Pusat mengambil satu keputusan untuk menurunkan kadar harga minyak yang sekian lama membebankan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian.

Harga minyak yang dinaikkan pada kadar 30 sen pada 28 Februari 2006, yang dianggarkan kenaikan tertinggi di dalam sejarah aliran ekonomi negara dilakukan oleh kerajaan dengan alasan pengurangan subsidi ini boleh mengurangkan bebanan kerajaan sebanyak RM4.4 billion setahun. Pada ketika itu harga minyak antarabangsa dianggarkan bernilai AS$69 setong.

Dan tanpa boleh dinafikan oleh kerajaan, kenaikan harga minyak ini telah menjadi punca kepada merosotnya kualiti kehidupan rakyat kebanyakan dengan kenaikan mendadak kos sara hidup yang tidak terkawal oleh kerajaan sekalipun.

Tidak ada sebab untuk Kerajaan terus berdolak dalih dengan alasan tanggungan subsidi yang dianggarkan sebanyak RM12.7 billion dengan keuntungan yang jelas boleh mengimbangi kadar subsidi yang ditanggung demi keselesaan hidup rakyat.

Dengan keuntungan sebanyak RM76.3 billion ini, penjimatan RM4.4 billion tersebut adalah nilai yang kecil jika dibandingkan dengan keselesaan hidup rakyat untuk menjalani kehidupan. Apatah lagi kini, harga minyak antarabangsa dianggarkan sekitar US$60 ke US$65 setong sahaja. Penurunan harga minyak tidak akan mengesani keuntungan Petronas sedikitpun.

AMK melihat bahawa sudah sampai masanya Petronas, atas tanggungjawab sosial kepada rakyat Malaysia, untuk mengajukan gesaan mereka kepada Kerajaan Pusat untuk menurunkan harga minyak pada kadar yang berpatutan dan munasabah.

Justeru Pimpinan AMK akan mengambil inisiatif untuk menemui Pengerusi Petronas, Tan Sri Hassan Merican untuk mengemukakan gesaan ini untuk dibawa kepada Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri agar harga minyak diturunkan pada kadar yang segera.

Sesungguhnya rakyat telah lama terseksa dan menderita dengan kenaikan harga minyak ini, maka tidak ada sebab pengorbanan rakyat ini dibayar dan dianugerahkan dengan penurunan harga minyak yang jelas mampu menjadi kunci kepada kawalan inflasi yang begitu teruk melanda negara akhir-akhir ini.

Atas nama kesaksamaan dan tanggungjawab sosial kepada rakyat, Petronas dan Kerajaan perlu menggalas tanggungjawab ini tanpa kompromi.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat


Biro Penerangan
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
No 110-3, Jln Tun Sambanthan, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur
Laman Web Rasmi: http://amk.keadilanrakyat.org
Emel: penerangan.amk@gmail.com

30.06.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.


Hantar artikel ini kpd sahabat:
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.