![]()
Bola - Sepak Dan Terajangnya - Laman M@RHAEN
Kebelakangan ini negara kita riuh-rendah dengan kekalahan teruk pasukan bola sepak negara. Seperti biasa, tuding-menuding terjadi dan akan ada manusia yang bertukar jadi kambing hitam. Tentu sekali orang bawah sebab itu adalah standard Malaysia – pemimpin betul dan tidaklah lain melainkan betul. Sememang ada hikmahnya peristiwa ini terjadi, sekurang-kurangnya yang dah berlumut di kerusi tu tergelincir dan banyak yang lain boleh mencuba nasib. Berbagai saranan telah dibuat oleh pelbagai pihak namun saya melihat banyak formula dan resepi kejayaan yang terbukti berkesan tidak diguna pakai secara total. Saya bukanlah perunding profesional bidang ini namun yang lain tu pun pandai cakap je, bikin belum tau.Anak kunci utama kejayaan yang perlu kita hayati ialah kalimat Malaysia Boleh. Ingat, asal Malaysia saja, apa-apa pun boleh kita buat. Jangan peduli orang lain. Senarai Malaysia Boleh terlalu panjang dan saya tidak bercadang menghurai lanjut namun memadailah dengan contoh berikut :
1. Duit rakyat berpuluh juta lesap dengan hanya berpindah beberapa kali di bank tanpa dapat dikesan dan diambil tindakan.
2. Beratus-ratus juta duit rakyat dibayar kepada syarikat atas kerja yang tidak dibuat atau projek yang dibatalkan.
3. Orang yang buat salah terlepas tapi orang yang memberi bukti kesalahan dipenjarakan
4. Malaysia kekal sebagai negara Islam contoh walaupun terdapat berpuluh lesen pengilang arak, kasino besar ada di sini, berjenis-jenis loteri dan nombor ramalan dihalalkan malah arak duduk sebaris dengan mineral water di dalam peti sejuk di kedai dan pasaraya secara terbuka.
5. Senarai masuk pelawat luar negara boleh terpadam begitu saja.
6. Pengawai keselamatan membunuh dengan pakej meletupkan mayat, bebas mengambil dan menyimpan bahan letupan malah sanggup membelasah rakan setugas (Maka tidak hairanlah ramai orang awam mati di lokap)
Berikut ini adalah cadangan saya beberapa tindakan minima yang boleh dilaksanakan dengan kadar segera bagi merealisasikan siri kemenangan yang bersejarah.Pengurusan
Ini adalah pihak terpenting. Janji mau ada banyak kuasa, mudah dinasihati, kalau boleh mesyuarat selalu tidur supaya tak banyak soal jawab dan mudah turun tandatangan dengan tergesa-gesa supaya projek dapat dijalankan tanpa cerewet. Pegawai lain mesti memiliki kriteria pandai tabur janji, kepala angin, pandai cari alasan, selamba dan sikit celupar adalah memadai.Peruntukan
Ini sangat penting. Bio pape ase bergaye. Peruntukan mesti tip-top sebab memang kerajaan banyak duit, rakyat pun bukannya cerdik sangat nak soal-jawab. Bila dapat banyak boleh belanja banyak, masyuk banyak, melancong banyak dan shopping banyak. Kalau dapat runding terus macam projek istana lagi cantik, boleh berganda-ganda jadinya !Kejurulatihan
Jurulatih ni ala kadar saja sudahlah. Kalau import yang bagus pun kerusi tu tetap panas. Terma kontraknya dipermudahkan : Kalah ? Blah !Pemain
Sertakan pemain hantu yang mahir menyelinap masuk melalui longkang atau boleh main berkali-kali tanpa disedari dan masuk padang sesuka hati. Klinik Khas untuk memahirkan teknik "Tendangan ala Firdaus" sangat diperlukan.Prasarana
Kepakaran BN mereka cipta padang tak sama-rata dan mengubah tiang dan saiz gol sangat berguna. Padang di pihak kita mesti jauh lebih tinggi dan luas lengkap dengan tiang gol portable dan boleh kuncup secukup rasa. Di pihak lawan yang padangnya rendah dan sempit, tiang gol hendaklah diluaskan semaksimum mungkin. Saya rasa sistem jek berputar untuk padang ini dialihkan bila separuh masa pertama selesai mungkin perlu digunakan sebab sistem tiang retak yang popular itu telah diguna dan hak cipta terpeliharanya dipegang oleh MRR2. Siling yang digunakan mestilah daripada jenis "plaster ceiling" sahaja.Ganjaran
Hulur-hulurlah kain pelikat, beras, basikal dan baja pada pemain. Sembelihlah unta dahulu, baru kelas. Takkan itu pun tak biasa. Bonus bagi separuh dulu, kalau keputusan baik baru bagi lagi separuh. Win-win situation gitu !Disiplin
Hukum pemain yang gagal mempamerkan aksi memberangsangkan mengiringi Najib ambil saki-baki Skyhawk di US dengan menaiki Nuri dalam perjalanan pergi. Sudah barang pasti mereka main bermati-matian di padang daripada bermain-main dengan kematian di dalam "flying coffin"Pengadil
Tanpa bersorok lagi saya dengan kembang hidung mencadangkan Augustine Paul adalah calon yang cukup layak dan "beri-bawa" mengisi tempat ini. Dengan khidmat nasihat Tan Sri Rasyid SPR, dia ni akan dengan selamba menambah masa perlawanan secukup rasa sehingga keadaan benar-benar memihak kepada kita.Pegawai teknikal
Seni mengubah tarikh dan masa perlawanan jika pasukan lawan kelihatan akan menang boleh digunakan dengan nasihat Ghani Patail atas alasan salah taip biarpun beberapa kali hatta padang tak siap pun kira OK. Senarai nama pemain hendaklah boleh diubah-suai mengikut selera kita sama ada dihilangkan atau dipindahkan keperlawanan di stadium lain.Penyokong
Seperti yang dibuktikan di dalam beberapa pilihan raya kecil lalu, Ketua Sorak sangat wajar diberi kepada Khairy dibantu provokator Adnan Yaakub Pelucah, Hishamudin Keris, SB dan FRU yang lengkap dengan water canon. Mereka hendaklah digalakkan ke stadium beramai-ramai kerana berbanding dengan negara lain (yang terpilih) harga tiket yang kita kenakan jauh lebih murah. Getah dan sawit pun mahal jadi kenaikan harga minyak dan tol sama sekali tidak melibatkan harga tiket.Pasukan lawan
Kita boleh mendakwa pernah melihat pemain pasukan lawan bermain badminton dengan pengadil jadi kita berhak merombak team lawan dengan pemain bola keranjang (janji ada perkataan bola, macam pendakwa juga tak kisahlah kes jenayah atau sivil)Media
Seperti biasa, kawal media untuk melaporkan perkara yang sewajarnya sahaja. Bagi yang degil, jangan bagi permit. Kalau selalu menentang, "had hari" pengeluarannya. Melawan juga, OSAlah apa ditunggu lagi (sementara tengah ada kuasa). Iklan tandas bersih perlu diperbanyakkan lagi supaya minda rakyat kelas pertama dapat dibentuk. (Tempat-tempat lain mana boleh bentuk minda ni sebab kebanyakan rakyat menghabiskan masa di tandas sahaja agaknya)Pasukan Keselamatan
Pasukan ini hendaklah memastikan kita sahaja yang selamat. Orang lain, sendiri mau ingat sebab jika pasukan lawan selamat bererti kita tak selamat. Pasukan ini hendaklah digunakan untuk menghalang pasukan lawan berkumpul atau berlatih dengan menggunakan Akta Polis.Plan B
Andaikata setelah semua tindakan di atas diambil masih tidak berkesan, senarai pemain dan pegawai pasukan lawan dihilangkan dan seterusnya di "Altantuya" kan mereka.Sebagai penutup, semangat Malaysia Boleh hendaklah diterapkan kepada seluruh rakyat dan penduduk dunia seluruhnya. Tiada yang mustahil untuk kita capai asal rakyat hanya angguk-angguk dan diam walaupun kita menipu dan tertipu. Kita ada senjata ampuh menentang kebangkitan pasukan lawan iaitu ISA (Ikut Suka Aku) Fikir-fikirkan, semua yang saya nyatakan di atas nampak merapu tetapi itulah antara cara yang telah pun digunapakai bukan sekadar memenangi perlawanan bola tapi memenangi apa saja yang dianggap mustahil menang.
Lagi sekali, MALAYSIA ? BOLEH !
Abu Abdullah
30.07.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.